KBSS disarankan lancar program sesuai untuk belia Sabah
15:05 May 18, 2024  |  By SabahKini2
KBSS disarankan lancar program sesuai untuk belia Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, slogan Yakin Boleh, Belia Sabah Maju Jaya bagi Karnival Belia Sabah 2024, sesuai dengan perkembangan semasa Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, memfokuskan untuk menghidupkan semula Rakan Muda.

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan (KBSS) disaran menggerakkan program yang sesuai untuk belia negeri ini seperti program Sabah Youth Volunteer Community (SYVOC) yang berperanan seperti Rakan Muda untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam komuniti.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, slogan Yakin Boleh, Belia Sabah Maju Jaya bagi Karnival Belia Sabah 2024, sesuai dengan perkembangan semasa yang mana Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, memfokuskan untuk menghidupkan semula Rakan Muda yang mempromosikan 10 gaya hidup sihat. 

Katanya, di Johor, kerajaan negeri itu telah menubuhkan Southern Volunteers yang banyak mencorak belia di Johor dengan pelbagai program pembangunan kemahiran dan kesukarelaan.

"Seiring dengan ini, saya mencadangkan kepada KBSS untuk menggerakkan program yang sama, yang lebih sesuai untuk belia Sabah seperti Sabah Youth Volunteer Community untuk mempromosikan gaya hidup sihat di dalam komuniti.

"Saya juga meminta kepada semua kementerian di Sabah khususnya yang ada kaitan dengan belia agar melaksanakan program pembangunan belia, mengikut 
kecenderungan masing-masing dan portfolio setiap kementerian di Sabah," katanya ketika merasmikan Karnival Belia Sabah Tahun 2024 di sini, hari ini.

Hajiji mengambil contoh, bagi mempromosi dan menggalakkan minat belia Sabah dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), KBSS boleh bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), manakala bagi program berkaitan pemerkasaan beliawanis, boleh bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat. 

“Ini dapat membantu kecekapan dalam menguruskan program untuk pembangunan belia melalui kerjasama progresif dan inovatif.

"Kejayaan negara mendapat pelaburan bernilai RM10.5 bilion daripada Microsoft Corp dalam teknologi awan (Cloud) dan Kecerdasan Buatan (AI), baru-baru ini merupakan alasan kukuh untuk menyediakan belia di Sabah dengan kemahiran teknologi Cloud dan AI," tegasnya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong dan melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada kesejahteraan ekonomi belia termasuk menyediakan latihan dan kursus kemahiran untuk memperkasa golongan itu di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM16.89 juta dalam Belanjawan Sabah 2024 untuk melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan yang menjurus kepada pemerkasaan belia bagi mencapai kesejahteraan sosioekonomi sejajar dengan Dasar Belia Sabah. 

Hajiji berkata, antara program-program berimpak tinggi yang diteruskan oleh kerajaan ialah Felo Sabah Maju Jaya (Felo SMJ) dan Dewan Belia Sabah (DBS).

Beliau berkata, modal insan merupakan salah satu elemen penting untuk meningkatkan produktiviti dan potensi pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri. 

Justeru katanya, agenda pembangunan modal insan akan terus diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan belia yang berkualiti, berkemahiran dan berminda kelas pertama.

Katanya, golongan belia perlu sedar bahawa mereka ialah pemimpin masa kini dan masa depan negara, khususnya bagi Sabah dan amat penting mereka sentiasa menambah ilmu, menjaga kesihatan selain tanamkan sikap yakin boleh demi untuk Sabah Maju Jaya.

"Bagi memastikan Sabah bersedia dengan Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0), kita perlu melihat prospek potensi dan bakat yang ada serta memperkasakan belia Sabah dengan pelbagai kemahiran terkini.

"Ini kerana belia aset penting dalam memajukan negeri dan negara, ke arah masa depan yang lebih cemerlang," katanya.

Menurutnya, Karnival Belia Sabah yang diadakan setiap tahun adalah platform untuk meraikan hari penting golongan belia kerana ia bukan sahaja untuk menggilap dan menyerlahkan potensi belia Sabah, juga untuk memupuk semangat kepemimpinan dan kesukarelaan selain menghargai peranan mereka dalam pembangunan negeri ini.
 
“Oleh itu, program dan aktiviti yang mengikut trend semasa penting untuk kita laksanakan, sesuai dengan kecenderungan belia masa kini seperti program peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk belia, pertandingan sukan dan kemahiran, pameran, dan forum bagi memberikan peluang kepada belia untuk belajar, bertukar pendapat dan mendorong kepada pembangunan diri yang holistik," katanya.

Comment