108 PTI ditahan JIM Sabah di Semporna dan Kunak
15:05 May 18, 2024  |  By SabahKini2
108 PTI ditahan JIM Sabah di Semporna dan Kunak

Ketua Pengarah JIM Sabah, Datuk Sharifah Sitti Salehah Habib Yussof berkata, operasi itu melibatkan seramai 63 pegawai dari pejabat Imigresen Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau.

TAWAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan seramai 108 pendatang tanpa izin (PTI) menerusi Operasi Penguatkuasaan (Ops Kutip/Mahir) yang dijalankan di daerah Semporna dan Kunak, semalam.

Ketua Pengarah JIM Sabah, Datuk Sharifah Sitti Salehah Habib Yussof berkata, operasi itu melibatkan seramai 63 pegawai dari pejabat Imigresen Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau.

Katanya, operasi yang dijalankan bermula jam 8.50 pagi itu menyasarkan beberapa lokasi tumpuan termasuk kawasan tapak pembinaan.

“Seramai 1,200 individu diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 81 orang telah ditahan di Semporna manakala 27 lagi ditahan di Kunak.

“Mereka yang ditahan adalah 101 warga Filipina, China (6), dan seorang warga Pakistan masing-masing berumur antara satu hingga 66 tahun,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Menurutnya, semua PTI terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal melebihi masa, penyalahgunaan pas serta membenarkan imigran haram masuk dan tinggal di premis.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Peraturan 39(b) dan Seksyen 56(1)(d),” katanya.

Sementara itu, Sharifah berkata, JIM Sabah menerima peruntukan sebanyak RM50 juta pada tahun ini bagi menaik taraf semua empat depot tahanan iaitu di Kota Kinabalu, Papar, Tawau dan Sandakan.

Katanya, semua depot berkenaan masing-masing akan menerima RM12.5 juta iaitu membabitkan projek menaik taraf pagar untuk kawalan keselamatan dan ia bermula pada tahun ini secara berfasa.

“Projek yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu membabitkan semua blok tahanan termasuk mewujudkan ruang rehat yang memenuhi standard hak asasi manusia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

“Semua depot yang ada di Sabah hanya mampu menampung seramai 7,200 orang dalam satu-satu masa dan ketika ini jumlah tahanan adalah seramai 4,608 orang dari pelbagai negara,” katanya.

Beliau berharap pihak kedutaan negara terlibat dapat menyegerakan proses penghantaran pulang tahanan balik ke negara asal bagi supaya tidak berlaku kesesakan di dalam depot.

“Sebelum ini, berlaku kelewatan penghantaran pulang membabitkan tahanan warganegara Filipina kerana terdapat perubahan format membabitkan sistem di kedutaan negara mereka,” katanya.

Comment