Isu hasil 40% Sabah: Safar SKN gagal mengapa salahkan Peguam Besar Negeri?
14:05 May 21, 2024  |  By SabahKini2
Isu hasil 40% Sabah: Safar SKN gagal mengapa salahkan Peguam Besar Negeri?

Tidak wajar menyalahkan Peguam Besar Negeri Sabah atas kenyataan Tengku Datuk Fuad. Peguam Besar Negeri telah menjelaskan membetulkan tanggapan salah dan sebaiknya beri peluang kepada Peguam Besar Negeri pada pengurusan kes 24 Mei ini.

Polemik Datuk Fuad Tengku Ahmad nampaknya belum selesai. Pelbagai pihak mempergunakan isu ini untuk tampil ke depan sebagai bahan politik oleh parti Warisan atau dalam komponen GRS sendiri.

Siapapun melantik Datuk Fuad Tengku Ahmad atau dia tidak layak mewakili Kerajaan Negeri,  Kerajaan Sabah telah menjelaskan kedudukannya. Sejak jun 2022 ketika Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) membuat semakan kehakiman berhubung pemberian khas sebanyak 40 peratus untuk Sabah Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Mohd Noor jelas menyokong usaha SLS itu. SLS juga sering bertemu Kerajaan berhubung isu ini.

Hanya kerana kenyataan salah dan beberapa rumusan Datuk Fuad Tengku Ahmad yang tidak disenangi tidak melambangkan pendirian Kerajaan Sabah dan Ketua Menteri

Isu hak 40% hasil - Penjelasan Ketua Menteri


Pertemuan Ketua Menteri dengan pemimpin komponen GRS

Datuk Seri Hajiji sendiri menegaskan Kerajaan Sabah tidak akan melepaskan hak -hak perlembagaan Negeri Sabah berhubung pemberian khas 40 peratus di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Isu kritikal ini kini berada di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan oleh YAB Dato Sri Fadillah Yusof Timbalan Perdana Menteri II.

Kerajaan Sabah katanya akan terus mempertahankan hak-hak perlembagaan Negeri Sabah berhubung dengan formula perkongsian hasil sedia ada dan ini mesti dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.

Ini termasuk tuntutan negeri Sabah untuk “tahun-tahun yang hilang” (lost years) di mana tiada semakan dijalankan dari tahun 1974 sehingga baru-baru ini

Penyelesaian setakat ini hanyalah penyelesaian interim (tanpa prejudis) di mana Negeri Sabah menerima lebih banyak daripada sebelum ini sementara menunggu rundingan lanjut antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk menuntut apa yang berhak kepada Negeri Sabah.

“Malah, sementara menunggu rundingan yang sedang berjalan, jumlah interim telah meningkat daripada RM125.6 juta pada 2022 dan daripada RM260 juta yang diumumkan pada Januari 2023 kepada RM300 juta pada Julai 2023”

Walaupun ini tidak mencapai apa yang dijangkakan, Kerajaan Sabah telah komited dan konsisten dalam mendapatkan lebih banyak daripada Kerajaan Persekutuan berbanding sebelum ini.

Hajiji jelas menghormati hak Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) memulakan prosiding mengenai perkara itu.

Maka tidak timbul Kerajaan Sabah tidak mempertahankan hak isu 40% hasil Sabah. 

Apa yang perlu dilakukan ialah membetulkan sebarang kenyataan yang salah dan berbeza daripada kedudukan jelas dan rasmi Kerajaan Negeri Sabah

Hakikatnya sesiapa saja pihak membuat semakan kehakiman termasuk SLS perbicaraan tidak ada kena mengena sama ada Sabah layak atau tidak mendapat Geran Khas 40 peratus. Walaupun SLS kalah atau sesiapa pihak membawanya keputusan itu tidak akan berubah atau menjejaskan hak Sabah untuk Pemberian Khas 40 peratus. Orang Sabah kata ‘TATAP DAPAT!’

Sepatutnya tidak timbul isu Kerajaan Sabah tidak berjuang mendapatkan 40 peratus hasil Sabah kerana perkara ini telah dijelaskan kerajaan sebelum ini. Malah dalam Sidang DUN Sabah sekali lagi Datuk Seri Masidi Manjun Menteri Kewangan Sabah berkata usaha tuntutan telah dibuat dan kini tempoh masa itu sehingga bulan julai sejajar dengan jawatankuasa di Pengerusikan Dto' Seri Fadillah TPM II. Jika tuntutan itu belum selesai maka pada selepas Julai Kerajaan Sabah boleh memulakan untuk melantik penafsir bebas mendesak tuntutan hasil 40 peratus itu. Video ucapan Datuk Seri Masidi juga jelas!

 

Ucapan Datuk Seri Masidi Manjun Menteri Kewangan memberi
jaminan tuntutan hasil 40 peratus

 

Penjelasan Peguam Negeri Sabah

19 Mei lalu Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof menjelaskan Jabatan Peguam Negeri  memberi komitmen yang teguh untuk melindungi hak-hak perlembagaan Sabah, khususnya berkaitan dengan pemberian khas dan 40 peratus hasil negeri seperti yang termaktub dalam Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Nor Asiah Mohd Yusof menegaskan perkara itu bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri telah aktif mengambil bahagian dalam semua perbincangan berkaitan perkara ini bersama dengan Kementerian Kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

“Pendirian kita sepenuhnya selaras dengan kenyataan terbaru Ketua Menteri Sabah yang menegaskan bahawa negeri ini tekad untuk menegakkan hak-hak perlembagaannya dan akan terus memperjuangkan semua hak Sabah seperti yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya lagi, Jabatan Peguam Besar Negeri telah memainkan peranan penting dalam rundingan ini, memastikan tuntutan undang-undang dan perlembagaan Sabah diwakili dengan berkesan.

“Usaha kami yang konsisten difokuskan untuk memastikan Kerajaan Persekutuan mematuhi formula pembahagian hasil yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuk mencari pampasan untuk “tahun-tahun yang hilang” dari 1974 hingga sekarang apabila tiada semakan mengenai pemberian khas dilakukan,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya turut menghormati hak dan tindakan undang-undang yang dimulakan oleh pihak Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) mengenai semakan kehakiman dalam perkara tersebut.

“Berkaitan dengan tindakan undang-undang yang dimulakan oleh Sabah Law Society, kami menghormati hak mereka untuk mencari semakan kehakiman dalam perkara ini kerana litigasi kepentingan awam adalah penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan keadilan yang adil.

Jabatan Peguam Besar Negeri akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk membetulkan sebarang kenyataan yang menyimpang daripada pendirian jelas dan rasmi Negeri.

“Tidak kira keputusan di Mahkamah Rayuan, Sabah mengekalkan tuntutan rasmi bahawa Kerajaan Persekutuan memenuhi kewajipan undang-undang dan perlembagaannya berkaitan dengan pemberian khas.

“Hak kewangan ini, yang berakar dalam rundingan pra-penubuhan Malaysia dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah hak yang tidak boleh dirunding bagi Sabah,” tegas beliau lagi.

Datuk Nor Asiah Mohd Yusof turut memberi jaminan pihaknya akan terus memperjuangkan hak yang sepatutnya diberikan kepada negeri Sabah di bawah MA63.

Jeffrey Kitingan salahkan Fuad

Sebelum ini Jeffery Kitingan tidak berpuas hati dengan Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad. Menurutnya Tengku Datuk Fuad tidak berhak campur tangan dalam rayuan Putrajaya terhadap keputusan mahkamah tinggi memberikan kebenaran Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) untuk meneruskan semakan kehakiman membabitkan isu hak 40 peratus hasil Sabah.

“Saya sama sekali tidak bersetuju dengan apa yang Fuad katakan. Kerajaan Sabah tidak pernah melantik beliau dalam isu 40% ini. Jadi, dia tidak boleh bercakap untuk kerajaan kerana dia tidak mempunyai locus standi.

 

Mengapa Presiden Komponen GRS serang Peguam Besar Negeri Sabah?

Sementara itu beberapa Presiden parti komponen GRS yang kecil dan tidak mempunyai ‘kerusi’ menyerang Datuk Nor Asiah Mohd Yusof Peguam Negeri Sabah agar meletak jawatan dan tidak kurang juga mendesak Ketua Menteri untuk merombak pegawai kanan di jabatan negeri. Ibarat salahkan nyamuk kelambu dibakar. Perkara yang sepatutnya komponen bincang dengan kerajaan secara tertutup tetapi didedahkan demi populariti siapa jadi pejuang.

Apa perlunya Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chin Su Phin menuntut Peguam Besar Sabah, Nor Asiah Yusof, meletakkan jawatan kerana kesilapan Tengku Datuk Fuad yang bercanggah dengan pendirian kerajaan negeri mengenai cabaran undang-undang terhadap isu hak 40% hasil negeri?

Turut menghentam secara terbuka walaupun semua komponen GRS itu boleh berjumpa Ketua Menteri dan memanggil Peguam Besar Negeri tetapi mereka gembira memilih menyerang susuk tubuh Nor Asiah iaitu Datuk Seri Yong Teck Lee Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Adun lantikan dan tiada satupun kerusi partinya di DUN tetapi semacam ada sokongan kuat kepada partinya.  Sekali lagi semuanya demi populariti siapa jadi pejuang isu.

Yong juga melebih-lebih menyalahkan semua perkara mengenai Peguam Besar Negeri dari isu semakan kehakiman SLS 40% hinggalah hal-hal tuntutan Sulu, Akta Laut Wilayah 2012 dan pelaksanaan Jawatankuasa Desa Madani (JKDM) yang diambil daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bagi negeri-negeri tidak ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan (Dalam Konteks Sabah tidak ditadbir UMNO BN) maka JKDM dilantik oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Maka kuasa itu kuasa Menteri KKDW.

Isu Sulu selesai kerana kelemahan Tommy Thomas, kerajaan PH.01 dan kesilapan lampau Parti Warisan. Mereka hampir menjual Sabah. Tetapi kini terselamat.

Hakikatnya kemenangan Menteri Undang-undang Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said mengalahkan Penimbangtara Sepanyol Gonzalez Stampa pun adalah sebahagian dari bantuan pejabat Peguam Besar Negeri untuk membekal segala maklumat berkaitan kepada Kerajaan Persekutuan.

Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee kini adalah  Pengerusi POIC Sabah Sdn Bhd milik kerajaan negeri, pemaju POIC Lahad Datu. Jika saranan mahu merombak semua agensi Kerajan Negeri ada baiknya menyemak kedudukan POIC yang sentiasa rugi dan sering dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Seorang lagi Presiden komponen GRS ialah  Tan Sri Pandikar Amin Mulia Presiden Parti USNO yang juga tidak mempunyai kerusi DUN di Sabah. Beliau yang juga Special Envoy Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA) Sabah menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor perlu merombak secara besar-besaran membabitkan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah khususnya di peringkat Jabatan Setiausaha Kerja Negeri sehingga ke Pejabat-Pejabat Daerah di seluruh negeri.

Umum mengetahui Hajiji Ketua Menteri seorang berhati mulia tidak pernah memusuhi lawan politik dan pegawai. Malah ramai pegawai kanan yang dilantik di zaman Kerajaan Warisan tidak ditukar dikekalkan hingga kini misalnya paling tinggi Datuk Seri Safar Untung Setiausaha Kerajaan Negeri.

Jika Pandikar menyelar kenyataan Tengku Ahmad Fuad Tengku Burhanuddin itu sudah dijangka sebagaimana orang lain tetapi meminta Ketua Menteri memecat Peguam Besar Negeri itu bukan jalan yang tepat.

Jika nak rombak pun jabatan atau agensi beliau sendiri dalam BIMP-EAGA juga perlu dirombak. Tidak sedikit juga isu kerjasama Tawi-Tawi Filipina yang beliau bawa dikecam pemimpin Parti Warisan. Maka semua orang ada kelemahan.

Setakat ini perkhidmatan Datuk Nor Asiah sangat bagus hanya isu hak 40 peratus sedikit ‘miscommunication’ menguruskannya.

Tidak perlu menyalahkan Datuk Nor Asiah Mohd Yusof Peguam Besar Negeri Sabah  semata-mata kerana beliau tertakluk kepada arahan kerajaan.

Peguam Besar sudah menjelaskannya namun tindakan Tan Sri Pandikar menegur Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Hj Saffar Untung yang gagal menyelaras perkara itu sangat tepat. Tiba-tiba SKN  ‘hands-on’ yang ambil tahu semua hal-hal pentadbiran kerajaan berdiam diri. Mengapa? 

SKN yang kontroversi sejak zaman Warisan ini dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga ke hari inilah orang yang sama menyelaras agenda kerajaan Sabah Maju Jaya. Bisinglah apapun mengenai hasil 40% Sabah, cukai jualan minyak gas (SST), minyak masak atau apa saja hak-hak dalam MA63 Safar Untung yang sama dalam kerajaan Warisan  menguruskan Kerajaan Sabah sekarang.

Mengapa SKN tidak memantau kes semakan kehakiman ini dan melaporkan kepada Ketua Menteri? Lantaran itu sebenarnya yang wajar dipersalahkan ialah SKN Datuk Seri Panglima Safar Untung yang seolah-olah mensabotaj kes semakan kehakiman tuntutan hasil 40 peratus.

Apakah hanya kerana Safar Untung tidak menerima lagi sambungan kontrak SKN maka beliau membiarkannya supaya kerajaan nampak tidak bersedia. Sebab itu Sabahkini2 mencadangkan kontrak Safar Untung sebagai SKN tidak disambung kerana kes rasuahnya. 

ARTIKEL BERKAITAN- Kes Rasuah: Ketua Menteri disyor tidak sambung khidmat Safar Untong sebagai SKN

Kes Rasuah: Ketua Menteri disyor tidak sambung khidmat Safar Untong sebagai SKN

 

Bagi Pemimpin parti lain yang nak 'port' isu ni tak usahlah. Tak ada isu pun. Sejak dahulu tuntutan hasil 40 peratus. Sama ada SLS menang atau kalah atau sesiapa juga mencabar di mahkamah tidak mengubah apa-apa kerana tetap semua dilakukan melalui Kerajaan  Negeri. Serahkan saja kepada Peguam Besar Negeri dan jabatannya pada pengurusan kes 24 Mei ini. Biar mereka selesaikan. Tak perlu pening. 

 

34 Comments