Dua pertuduhan terima rasuah RM350,000, bekas setpol Hamzah Zainudin mengaku tidak bersalah
18:05 May 23, 2024  |  By SabahKini2
Dua pertuduhan terima rasuah RM350,000, bekas setpol Hamzah Zainudin mengaku tidak bersalah

Didakwa menerima RM100,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Yusof sebagai dorongan untuk syarikat itu mendapat tender lebih RM381 juta penyelenggaraan dan pembekalan infrastruktur, pelayan serta perisian bagi sistem radio polis,

KUALA LUMPUR: Seorang bekas setiausaha politik kepada Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000 untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan polis.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Azura Alwi.

Dia didakwa menerima RM100,000 daripada Pengarah Urusan Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Yusof sebagai dorongan untuk syarikat itu mendapat tender lebih RM381 juta penyelenggaraan dan pembekalan infrastruktur, pelayan serta perisian bagi sistem radio polis, RMPNET.

Dia juga didakwa menerima RM250,000 daripada Wan Azhar sebagai dorongan atas tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Solaris Dutamas pada 4 dan 16 Dis 2020.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Sayed Amir diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Dia turut diarah melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali.

Sayed Amir diwakili peguam Yunos Shariff, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Julai ini.

1 Comment