GRS, PH Sabah tolak JKDM, apakah PM akan batalkan pelaksanaannya 31 Mei ini?
19:05 May 25, 2024  |  By SabahKini2
GRS, PH Sabah tolak JKDM, apakah PM akan batalkan pelaksanaannya 31 Mei ini?

Kerajaan GRS menolak JKDM dilaksana di Sabah. Terbaru PH Sabah menolaknya. Selain bertindan JPKK juga bertentangan dengan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah (Pindaan). PM Anwar pasti didesak 31 Mei ini. PM pertahan atau mengubur JKDM Sabah!

Sejauh mana Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM)  yang baru ditubuhkan di Sabah mampu bertahan? Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) vs Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM). Benarkah kuasa pemimpin JKDM hanya melibatkan keusahawanan desa?

Sejak Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah dan pelantikannya dibuat bulan ini sempena ketibaan Datuk Seri Zahid Hamidi TPM yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke Sabah nampaknya tidak dipersetujui pemimpin Kerajaan GRS kecuali UMNO BN dan Warisan.

Polemik perdebatannya masih panjang. Menurut UMNO BN tindakan Kerajaan GRS menolak pelaksanaan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di Sabah sekali gus diibaratkan menolak segala polisi dilaksanakan kerajaan Madani di peringkat persekutuan. Kata mereka  GRS seolah-olah ingin mempertikaikan polisi sekali gus menolak kerajaan perpaduan.

Namun cabaran terbesar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan pemimpin UMNO Sabah membuktikan JKDM ini dilaksana seluruh negara kerana setakat ini Selangor dan terbaru Sabah. Kerajaan Sarawak tidak pernah menerimanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri  ke 10 adalah dari Pakatan Harapan jika PH Sabah juga menolak JKDM ini pasti memberi kesan tekanan teruk buat Perdana Menteri. Dan kini PH Sabah telah membuat keputusan.

 

PH TOLAK JKDM

Kenyataan terbaru Pakatan Harapan (PH) Sabah berpendirian tegas bahawa Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) tidak wajar diperkenalkan dan dilaksanakan di Sabah. 

 

PH Sabah dalam satu kenyataan berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini telah meluluskan pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah.

“Pindaan itu kini memberi kuasa dan autonomi kepada Kerajaan Sabah untuk melantik dan mengurus pentadbiran jawatankuasa kampung seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Sabah,”

Setiap wakil rakyat PH Sabah menyokong pindaan kepada Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang memberi kuasa autonomi kepada kerajaan Sabah untuk menguruskan hal ehwalnya. 

“Kami mengalu-alukan sebarang peruntukan persekutuan yang diberikan kepada Sabah khususnya untuk pembangunan dan manfaat masyarakat luar bandar di Sabah.

 

GRS, UPKO tolak JKDM

Pemimpin GRS terutama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan sangat tidak bersetuju dengan pelaksanaan JKDM. Menurut Jeffry Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dah ada,  JKDM hanya mengelirukan serta memecahbelahkan rakyat.

 

 

Jadi katanya Sabah tidak akan melaksanakan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM), inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) atas alasan membasmi kemiskinan luar bandar di negeri itu, kerana kerajaan negeri sudah mempunyai inisiatif, justeru ia tidak mahu satu lagi inisiatif yang akan memecah belahkan rakyat.

“Kami menolaknya. Dan kami akan menolaknya secara rasmi. Kami juga akan menyampaikan pendirian kerajaan negeri kepada perdana menteri (Anwar Ibrahim)  pada 31 Mei,”

“Biarlah ia dilaksanakan di Semenanjung (Malaysia) saja.”. Katanya

JKDM meragukan hanya dilaksanakan di Selangor setakat ini dan tidak dijalankan di Sarawak. Sebagai ahli ahli jawatankuasa teknikal MA63 (Perjanjian Malaysia 1963  beliau bertegas menolak cadangan ini.

18 Mei lalu Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata penubuhan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) lebih kepada inisiatif parti politik dan tidak melalui wakil rakyat di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah menjelaskan pandangannya yang tidak bersetuju dengan penubuhan JKDM apabila ia dibangkitkan di kabinet.

"Saya percaya keputusan pada ketika itu cadangan tersebut haruslah dirunding dengan kerajaan negeri. Jadi saya tidak tahu kenapa ia masih diteruskan.

"Pandangan dan pendirian saya sudah direkodkan dengan jelas dalam perbincangan kabinet dan pendirian saya tidak berubah sejak saya menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah," katanya

Presiden Upko, Ewon Benedick dilaporkan berkata, Sabah meminda Ordinan Pentadbiran Luar Bandar untuk pentadbiran kampung bagi memastikan negeri itu hanya mempunyai sebuah badan pengurusan kampung.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Sabah mempunyai Ordinan Pentadbiran Luar Bandar yang sudah dipinda untuk pentadbiran kampung dan seharusnya hanya satu badan pengurusan kampung di negeri ini.

Beliau berkata, Ordinan Pentadbiran Luar Bandar itu telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di mana hanya ada satu pentadbiran kampung iaitu JKKK yang diiktiraf yang dilantik oleh kerajaan negeri.

“Sekiranya penubuhan JKDM merupakan dasar negara, maka ia harus dilaksanakan di seluruh negara, tetapi di Sarawak dan beberapa negeri lain di Semenanjung ia tidak dilaksanakan.”

"Sebagai wakil rakyat dari Sabah dan walaupun mempunyai kementerian Persekutuan, saya tetap berpendirian bahawa tidak harus ada JKDM di Sabah," katanya.

31 Mei ini adalah kehadiran  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke  Sabah merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Kebangsaan. Kerajaan GRS dan PH pasti melaporkan isu JKDM kepada PM. Apakah PM akan akur dengan JKDM atau mengarahkan kepada TPM tidak melaksanakannya di Sabah. 

Maka sejauh mana JKDM mampu bertahan di Sabah? Pemimpin UMNO BN dan Warisan yang tiada jawatan perlukan JKDM untuk bernafas tetapi Kerajaan GRS dan Ordinan Pentadbiran Luar Bandar Sabah tidak mengizinkannya. 31 Mei pasti menguji ketegasan Perdana Menteri.

By Awang Batatar

 

1 Comment