Guru dari Sabah menang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge
23:05 May 26, 2024  |  By SabahKini2
Guru dari Sabah menang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge

Sydney Engelbert, 30, dari Kampung Kiawayan di Tambunan, sebuah kawasan luar bandar Sabah, muncul sebagai pemenang keseluruhan dalam kalangan sejumlah 14,800 calon dari lebih 140 negara.

KOTA KINABALU: Seorang guru bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau Sydney Engelbert dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024.

Sydney, 30, dari Kampung Kiawayan di Tambunan, sebuah kawasan luar bandar Sabah, muncul sebagai pemenang keseluruhan dalam kalangan sejumlah 14,800 calon dari lebih 140 negara.

“Saya sangat bersyukur. Saya tidak pernah terfikir untuk dipilih sebagai pemenang, kerana pencalonan lain semuanya hebat dan saya benar-benar berbesar hati untuk dicalonkan dalam kalangan mereka.

“Namun, dengan sokongan penuh yang saya terima daripada keluarga, rakan, rakan sekerja dan pelajar saya, ia menyedarkan saya bahawa saya tidak bersendirian dalam perkara ini, walaupun ia boleh menjadi suatu perjalanan yang mencabar,” Sydney dipetik sebagai berkata di laman sesawang Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge 2024.

Wanita daripada etnik Kadazandusun itu memegang ijazah sarjana muda dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan mula mengajar pada 2019.

Beliau berkata, kedua ibu bapanya, yang juga guru, menjadi sumber inspirasi baginya untuk mendalami profesion perguruan.

“Kedua-dua ibu bapa saya guru dan saya membesar dengan melihat bagaimana mereka berjaya membantu dan memberikan inspirasi kepada banyak kehidupan, sepanjang kerjaya mereka.

“Walaupun menerima anugerah dan pengiktirafan atas perkhidmatan mereka sejak sekian lama, ibu bapa saya sering mengatakan bahawa perkara yang paling membanggakan menjadi seorang guru adalah apabila bekas pelajar, masih mengingati dan menghormati mereka.

“Ramai bekas pelajar masih mengingati mereka sebagai guru mereka. Itulah yang membuatkan saya menceburi profesion ini,” katanya.

Pada 2022, Sydney merintis program kelas pertukaran secara dalam talian bersama beberapa sekolah vokasional di Asia Tenggara, dengan setiap kitaran program berlangsung selama tiga bulan.

Dalam tempoh dua tahun, program itu memberikan manfaat secara langsung kepada hampir 400 pelajar dan 50 guru daripada semua sekolah yang mengambil bahagian.

Beliau juga memainkan peranan aktif dalam program pengantarabangsaan lain seperti menjadi tuan rumah kepada pelajar luar negara di sekolahnya.

Sydney ialah guru kedua memenangi anugerah berprestij itu selepas Khalifa Affnan, juga dari Kolej Vokasional Keningau, pada 2022.

Comment