Cubaan seludup 4,400 liter diesel digagalkan KPDN
16:06 Jun 07, 2024  |  By SabahKini2
Cubaan seludup 4,400 liter diesel digagalkan KPDN

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu selepas mengesyaki berlaku penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel sebelum kes diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut.

PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya merampas 4,400 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng dalam satu operasi di sebuah stor tanpa nama di Kampung Kibabaig, di sini.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, operasi dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu selepas mengesyaki berlaku penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel sebelum kes diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut.

Katanya, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat tangkapan daripada PGA.

"Pemeriksaan awal yang dijalankan menemukan dan menyita 4,400 liter diesel dengan anggaran nilai RM9,460 yang disimpan dalam enam unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC) yang diubahsuai dalam sebuah lori kotak. 

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan terhadap tangkapan itu berjumlah RM58,860 termasuk dua lori kotak, 12 unit tangki IBC dan satu unit mesin pam yang disyaki untuk digunakan dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan. 

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

"Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal," katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain dalam menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap semua kegiatan haram berkaitan barang kawalan di Sabah supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak KPDN untuk tindakan lanjut,” katanya.

Comment