Sekatan laman sesawang, mengapa Murray Hunter sakit hati dengan Tan Sri Salim Pengerusi SKMM?
10:06 Jun 08, 2024  |  By SabahKini2
Sekatan laman sesawang, mengapa Murray Hunter sakit hati dengan Tan Sri Salim Pengerusi SKMM?

Murray Hunter bukan saja obses terhadap Malaysia tetapi juga nama Tan Sri Salim, MRCB dan Rocky Bru. Bencinya membuak-buak tapi pengecut duduk di Thailand. Beliau menyalahkan kerja SKMM kerana Tan Sri Salim. Hakikatnya..

Kebencian Murray Hunter terhadap Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak pernah terhenti. Kali ini artikel terbarunya ‘Salim Fateh Din is destroying Malaysia’s press freedom reputation’ menggambarkan rasa benci dan tidak puas hatinya secara peribadi sejak sekian. Nama Salim dan MRCB sering memberi mimpi ngeri buatnya.

Ialah siapa tidak kenal wartawan obses  kepada Malaysia seperti Murray Hunter? Tahun lalu Sabahkini2 ada menyiarkan sikap obses Murray Hunter asal Australia tetapi menetap di Thailand ini. Dia hanya pengecut di Thailand. Orang seperti ini seperti juga Sarawak Report, blog Murray Hunter perlu diuji dengan sekatan laman sesawang. 

ARTIKEL BERKAITAN - An Australian in Thailand who is obsessed with Malaysia

 

SKMM buat laporan polis terhadap Murray Hunter, sepatutnya sekat blog murrayhunter.substack!


Menurut Murray Salim Fateh Din sedang merosakkan reputasi kebebasan akhbar Malaysia sambil memetik laporan Reporters Without Borders (RSF), Malaysia telah jatuh dari tangga ke-73 ke tangga ke-107 dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2024, daripada 180 negara. Menyekat satu dua portal berita tidak bermakna menjejaskan reputasi kebebasan akhbar Malaysia. Apa kisah kepada ranking RSF, lain negara lain isunya, keselamatan dan keharmonian negara adalah keutamaan. Tiada kebebasan mutlak yang boleh menggugat negara. Murray menuduh Salim sebagai Pengerusi SKMM menyekat laman web sesuka hati, pendakwaan pengkritik di mahkamah, menapis berita dan  menukar SKMM menjadi alat peribadinya.

SKMM pernah menafikan dakwaan Reporters Without Borders (RSF) bahawa tindakan menyekat akses ke beberapa laman web berita, bukan untuk menyekat kebebasan media tetapi dibuat memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab, dan tanpa menyebarkan fitnah ataupun maklumat yang kurang tepat. SKMM mencegah penyalahgunaan platform dalam talian untuk melakukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

Dalam blognya Murray juga menuduh Salim sebagai pembuli siber dibantu seperti Rocky Bru (Datuk Ahirudin Attan). Bencinya Murray terhadap Salim, MRCB dan Rocky Bru membuak-buak. Murray bukan setakat obses terhadap Malaysia tetapi juga Salim, MRCB dan Rocky Bru. 

 

Mengapa Tan Sri Salim dan SKMM?

Sejak zaman Najib sebagai Perdana Menteri, diganti Tun Dr Mahathir PM7, bertukar lagi kepada Tan Sri Muhyiddin, seterusnya Ismail Sabri dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim kerajaan silih berganti SKMM terus memainkan peranannya. SKMM mengikut kerajaan yang memerintah. Sekatan portal dan platform media sosial bukan baru tetapi sejak sekian lama atas sebab-sebab tertentu mengikut undang-undang. Portal Sabahkini2.com (org), Sarawakreport dan beberapa portal web lain pernah disekat SKMM atas sebab-sebab tertentu.

Namun harus diingat Pengerusi, Lembaga Pengarah dan pegawai SKMM bertukar bersilih ganti, bukan sebab kerana hanya ada Pengerusi Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. Sejak sebelum Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din pengerusi pun sudah beribu laman sesawang dan hantaran di pelbagai platform disekat.


LEMBAGA PENGARAH SKMM YANG LAMA

Pelantikan Tan Sri Datuk Sri Mazlan Lazim dan Dato' Wei Chuan Beng

LEMBAGA PENGARAH SKMM BAHARU

 

 

Lembaga Pengarah SKMM baharu -Tan Sri Datuk Sri Mazlan Lazim digugurkan
Datuk Hj Ruji Hj Ubi KSU KDN dilantik Lembaga pengarah baharu

 

Laporan media tahun 2016 misalnya melaporkan SKMM  menyekat 5,044 laman sesawang melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sejak 2015 sehingga Oktober 2016. Daripada jumlah itu, 4,277 merupakan laman sesawang berunsur lucah, jelik dan mengancam keselamatan, manakala 767 lagi memaparkan unsur perjudian, pelacuran, penipuan, cetak rompak, produk palsu, ubat tidak berdaftar dan lain-lain. SKMM menyekat semua laman sesawang itu berdasarkan permohonan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan serta agensi berkaitan yang lain. Itu 10 tahun lalu tiada Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dalam SKMM pun!

Laporan SKMM pada tahun 2022 

Pada tahun 2022, SKMM melalui Jabatan Media Baharu (NMD) telah mengendalikan sebanyak 1,881 aduan awam berhubung penyalahgunaan perkhidmatan dalam talian, termasuk media sosial.   Jumlah sekatan laman sesawang yang telah dilaksanakan pada 2022 ialah 4,572. Jika dilihat dari statistik tindakan sekatan laman sesawang dari 2020 hingga 2022, Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (PDRM) paling banyak digunakan disusuli, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bermakna isu judi online /scammer punca utama laman sesawang disekat. Portal berita online bersifat politik yang disekat hanya satu dua sahaja setahun di negara ini.

 

 

Bagaimana sekarang? oktober tahun 2023 Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching mengesahkan sebanyak 3,150 hantaran di pelbagai platform media sosial berunsur penipuan dan pemancingan maklumat (phising) disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September 2023. Ia melibatkan 2,871 hantaran di Facebook; 254 (WhatsApp); 13 (Instagram); 11 (Telegram); dan satu di TikTok, selain 1,471 membabitkan laman sesawang.

Pada 29 Mac 2024 dalam satu kenyataan media SKMM susulan insiden melibatkan stoking yang tertera kalimah Allah, SKMM mengingatkan semua pihak untuk menghentikan hantaran provokasi dan komen komen yang bersifat provokatif dan 3R (race, royalty, religion) di media sosial. Berdasarkan statistik SKMM, terdapat peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT). Sebanyak 35,490 kandungan telah diturunkan pada 2023, manakala bagi januari dan februari sahaja 27,115 kandungan diturunkan.

Kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu. Kandungan sedemikian mengundang ancaman signifikan kepada fabrik sosial dan institusi di Malaysia. Sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari 2023 hingga kini. Manakala, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini.

Peningkatan kandungan memudaratkan tidak mungkin akan berkurangan malah akan terus meningkat setiap tahun. Tiktok dan Facebook (Meta) misalnya dua platform yang popular di negara ini tidak mungkin lepas tangan dan mereka perlu bekerjasama dengan kerajaan. 

Laporan  Global Digital Report 2024 menunjukkan platform media sosial yang paling banyak digunakan di Malaysia pada tahun 2024, berdasarkan statistik media sosial, WhatsApp adalah aplikasi media sosial yang paling banyak digunakan oleh pengguna berusia 16 hingga 64 tahun, dengan 90.7% menggunakannya setiap bulan. Begitu juga platform milik Meta (facebook) dan instagram.  Seterusnya TikTok dicapai 68.8% pengguna. 

Maka tidak hairanlah kerajaan menjalin hubungan dengan pengendali platform seperti  Tiktok dan Meta.

 

 

PERTEMUAN PENYEDIA PLATFORM TIKTOK DAN META

9 April lalu YB Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi telah mempengerusikan mesyuarat bersama penyedia platform dalam talian iaitu TikTok dan Meta bagi memastikan penyedia platform memantau kandungan (content moderation) dengan lebih holistik dan proaktif. Ini merupakan usaha bersepadu SKMM bersama pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasaan bagi menangani penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti 3R (Race, Religion and Royalty).

Turut hadir pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching; Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din; Ketua Pengarah Keselamatan Negara, YM Raja Dato’ Nurshirwan bin Zainal Abidin; wakil Polis Diraja Malaysia yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, SAC Datuk Mohamad Zainal bin Hj Abdullah, serta wakil daripada Jabatan Peguam Negara.  

Berdasarkan statistik SKMM bulan April terdapat peningkatan kandungan memudaratkan di media sosial dan platform Over The Top (OTT). Bagi tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut. Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu.

Penyedia platform turut diminta menangani kandungan berkaitan 3R secara efektif dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia. Selain itu, TikTok dan Meta digesa untuk membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun (Coordinated Inauthentic Behaviour), serta memantau dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan memudaratkan seperti scam serta perjudian haram dalam talian.

 

 

Laporan FMT mengenai item larangan Meta

FMT melaporkan terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah kandungan yang dilarang di Malaysia, merujuk kepada data yang dikeluarkan oleh Meta. Jumlah item yang dilarang dalam talian meningkat daripada 536 pada tahun 2022 kepada 8,580 pada tahun 2023 – meningkat 16 kali ganda dalam hanya satu tahun.

Apa pun data yang digunakan oleh Meta menjelaskan item larangan itu yang pasti pertemuan kerajaan dengan Tiktok dan Meta pada 9 April telah mensyaratkan pengendali platform  menyediakan pelan penambahbaikan dan strategi dengan butiran menyeluruh apa yang diputuskan dalam mesyuarat itu. 

Laporan-laporan SKMM setiap tahun jelas banyak merujuk hantaran provokasi isu 3R (race, royalty, religion), kandungan memudaratkan, menghasut,  scammer, jelik penjualan haram, perjudian (judi online), berita palsu, hantaran isu barang-barang kawalan dan buli siber.

Malah pertuduhan di mahkamah bagi laman sesawang yang disekat lebih banyak kesalahan  di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (PDRM) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Jadi amat jelas sekatan laman sesawang bukan sebab atas YB Fahmi Fadzil Menteri Komunikasi dan Pengerusi SKMM Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din tetapi memang kesalahan berulang setiap tahun. Suasana negara hari tidak dapat dielak jika item dilarang akan terus meningkat dari masa ke semasa melibatkan jenayah judi online dan hantaran jelik. Ini ditambah lagi  penulis-penulis upahan kandungan dari parti-parti di negara ini sama ada secara 'White' atau 'Black Ops' yang  merancakkan suhu panas perang dalam platform media sosial seperti Whatsapp, Facebook, Tiktok, instagram. telegram, X (Twitter), portal  lain-lain lagi.

Justeru mengapa Murray Hunter nak salahkan Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din? Ini bukti Tan Sri Mohamad Salim melaksanakan tugasnya sebagai Pengerusi SKMM (MCMC). 


by Awang Batatar

 

 

 

 

6 Comments