Maritim Malaysia tahan empat lelaki terlibat aktiviti bom ikan
15:06 Jun 10, 2024  |  By SabahKini2
Maritim Malaysia tahan empat lelaki terlibat aktiviti bom ikan

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, semua suspek terbabit ditahan dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

LAHAD DATU: Dua bot pam ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti bom ikan di kawasan Selatan Pulau Kun Kun, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.16 petang itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan dua bot pam dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan berkata, pihaknya mengesan dua bot pam dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 6.16 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat lelaki palahu berusia 20 hingga 40 tahun di dalam bot berkenaan.

“Semua suspek terbabit didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran bot yang sah.

“Keempat-empat suspek terbabit turut dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan disyaki menggunakan bom,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, semua suspek terbabit ditahan dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

“Turut dirampas dua buah bot berserta enjin, dua kompresor dan dua botol bom ikan yang dianggarkan bernilai lebih RM5,000,” katanya.

Dr. Suzanna berkata, komuniti maritim terutamanya di Sabah diingatkan agar tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana ia salah di sisi undang-undang.

Selain itu, katanya, aktiviti bom ikan membawa kesan negatif kepada ekosistem akuatik dan juga membahayakan nyawa serta para penyelam.

“Zon Maritim Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu supaya terus memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan.

“Kegiatan jenayah boleh dilaporkan melalui talian Maritim Malaysia 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Comment