Pekerja pembersihan maut dihempap pokok tumbang
15:06 Jun 11, 2024  |  By SabahKini2
Pekerja pembersihan maut dihempap pokok tumbang

Pegawai Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM di lokasi kejadian.

KOTA KINABALU: Seorang pekerja pembersihan kawasan sekolah maut selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa berumur 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi.

Katanya, 11 anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati dihempap pokok tumbang ketika melakukan kerja-kerja memotong rumput di lokasi.

"Pasukan operasi terus bertindak memotong dahan-dahan pokok berkenaan menggunakan gergaji berantai sebelum dialihkan ke tempat lain," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.52 pagi," katanya. 

Comment