Lelaki Indonesia dikuatiri hilang ditemui lemas
14:06 Jun 12, 2024  |  By SabahKini2
Lelaki Indonesia dikuatiri hilang ditemui lemas

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa ditemukan terapung di perairan Kalumpang oleh orang awam pada hari kedua operasi dan menyelamat (SAR) dilakukan.

TAWAU: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang di perairan laut Inderasabah semalam, ditemukan lemas, di sini, pagi tadi.

Mayat mangsa, Ibnu Hajar Mustamar, 33, warga Indonesia ditemukan pada jam 9.40 pagi kira-kira dua kilometer dari tempatnya dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa ditemukan terapung di perairan Kalumpang oleh orang awam pada hari kedua operasi dan menyelamat (SAR) dilakukan.

“Pasukan bomba bertindak ke lokasi kejadian untuk mengambil mayat mangsa sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Tawau untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.  

Katanya, operasi SAR mangsa bermula jam 7 pagi yang disertai oleh empat anggota dan pegawai BBP Tawau bersama sebuah jentera.

“Operasi turut melibatkan agensi lain termasuklah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam,” katanya.

Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar ke laut pada jam 5.30 petang pada Isnin untuk menjalankan aktiviti nelayan melalui Jeti Inderasabah.

Bagaimanapun, bot mangsa ditemukan penduduk kampung tanpa pengemudi semalam kira-kira jam 11 pagi di sekitar perairan antara Kampung Inderasabah dan Pulau Kalumpang.

Comment