Mahkamah tolak permohonan ikat jamin 7 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu
17:06 Jun 13, 2024  |  By SabahKini2
Mahkamah tolak permohonan ikat jamin 7 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu

Hakim Datuk Duncan Sikodol, mahkamah mendapati kes ini bersifat pramatang kerana belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan tiada keistimewaan dikemukakan oleh pemohon untuk diberikan jaminan.

TAWAU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menolak permohonan jaminan terhadap tujuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu berkait pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, 22 Mac lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol, membuat keputusan itu terhadap kesemua tertuduh selepas mendengar permohonan dikemukakan peguam Datuk Ram Singh yang mewakili semua tertuduh.

Duncan berkata, mahkamah mendapati kes ini bersifat pramatang kerana belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan tiada keistimewaan dikemukakan oleh pemohon untuk diberikan jaminan.

Ram Sing dalam permohonannya berkata, permohonan jaminan yang dikemukakan itu adalah berkait dengan isu pendidikan semua pemohon.

Katanya, semua pemohon adalah penduduk tempatan dan tiada risiko untuk melarikan diri kerana ibu bapa mereka akan menjadi penjamin.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain berkata, berkaitan isu jaminan berkenaan, pemohon sudah tidak layak meneruskan pendidikan di kolej berkenaan seperti yang dinyatakan dalam Afidavit oleh Pengarah Kolej Vokasional Lahad Datu.

Bagaimanapun, katanya, pemohon boleh meneruskan pendidikannya sebagai calon persendirian untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Terdahulu, 13 pelajar berusia 16 hingga 19 tahun dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 Mac dan 22 Mac lalu kira-kira 9 malam hingga 7.38 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan.

Mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001, pesalah bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri mengikut di mana kesalahan itu berlaku.

Sebutan Kes ditetapkan 27 Jun ini di Mahkamah Majistret Lahad Datu.

Comment