Pendaki meninggal dunia di puncak Gunung Kinablu
18:06 Jun 13, 2024  |  By SabahKini2
Pendaki meninggal dunia di puncak Gunung Kinablu

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima memaklumkan ada satu kematian membabitkan seorang lelaki ketika mendaki Gunung Kinabalu, jam 11 pagi.

RANAU: Seorang pendaki maut selepas tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri ketika mendaki puncak Gunung Kinabalu, semalam.

Mangsa lelaki tempatan berusia 53 itu dikatakan rebah ketika tiba di kilometer 8.3 laluan puncak Gunung Kinabalu, kira-kira jam 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima memaklumkan ada satu kematian membabitkan seorang lelaki ketika mendaki Gunung Kinabalu, jam 11 pagi.

Katanya, mangsa membuat pendakian bermula dari Timpohon Gate pada Selasa lalu, bersama isteri dan sembilan rombongan lain termasuk tiga Malim Gunung mengiringi mereka.

"Ketika pendakian ke puncak Gunung Kinabalu, setibanya di kilometer 8.3, mangsa tiba-tiba berhenti dan terus rebah lalu tidak sedarkan diri.

"Malim Gunung yang berada di lokasi memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) tetapi gagal menyelamatkan mangsa," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diusung turun ke Timpohon Gate oleh pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kundasang setibanya di Timpohon Gate.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR)," katanya.

Sementara itu, Simiun berkata, orang ramai yang ingin mendaki Gunung Kinabalu dinasihatkan supaya memastikan diri dalam keadaan sihat sebelum mendaki agar tidak memudaratkan diri sendiri. 

Comment