Sabah peruntuk RM43.49 juta naiktaraf rangkaian internet premis kerajaan negeri, Pusat e-Desa
18:06 Jun 14, 2024  |  By SabahKini2
Sabah peruntuk RM43.49 juta naiktaraf rangkaian internet premis kerajaan negeri, Pusat e-Desa

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempercepatkan pembangunan prasarana teknologi digital di Sabah.

RANAU: Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM43.49 juta dalam Belanjawan Sabah 2024 untuk menaiktaraf rangkaian internet di 1,031 buah premis kerajaan negeri, termasuk Pusat-Pusat e-Desa menggunakan gentian optik berkelajuan minima 300 mbps.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempercepatkan pembangunan prasarana teknologi digital di Sabah.

Katanya, antara inisiatif itu adalah bagi mempercepat pelaksanaan Pelan Strategik Kerajaan Digital di negeri ini menjelang tahun 2025.

Beliau berkata, Pelan Jalinan Digital Nasional (JENDELA) yang masih lagi dalam peringkat pelaksanaan dijangka akan siap pada akhir tahun 2025.

“Bagi kawasan pedalaman yang mengambil masa untuk mendirikan menara dan infrastruktur gentian optik, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah memilih alternatif lain iaitu memasang peranti Starlink di seluruh kawasan Sabah yang dikenal pasti mempunyai masalah sambungan internet sebagai penyelesaian interim kepada kawasan berkenaan.

“Sebanyak 300 buah peranti Starlink sudah dipasang oleh Sabah Net Sdn.Bhd sebagai pelaksana, menjadikan Sabah negeri pertama memasang Starlink terbanyak kepada masyarakat luar bandar. 

“Perkhidmatan internet ini hanyalah sebagai penyelesaian interim sehingga projek JENDELA siap kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Internet Komuniti Luar Bandar Kampung Terolobou, Ranau pada Jumaat. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menurutnya, setakat 28 Mei lalu, pemasangan Starlink mencapai 100 peratus merangkumi daerah Tuaran, Tambunan, Ranau, Keningau, Kota Belud, Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom, Tawau, Kalabakan, Sandakan, Tongod, Pitas, Kunak, Kudat, Beluran, Telupid, Sipitang, Beaufort, Lahad Datu, Semporna, Nabawan, Sook, Papar dan Penampang.

Hajiji berkata, dengan meningkatnya akses internet yang lebih meluas, penduduk luar bandar boleh mengecapi peluang yang setara dengan penduduk di bandar.

Beliau mengambil contoh, penduduk luar bandar sudah boleh berhubung dengan menggunakan panggilan video, mengakses harga pasaran semasa hanya dalam talian, mempelajari ilmu pertanian, peternakan, perikanan dan banyak lagi menerusi video dalam talian yang secara langsung akan dapat meningkatkan produktiviti mereka.

“Pelajar luar bandar juga turut mendapat manfaat, mereka kini sudah boleh mengakses sumber pendidikan melalui kursus dalam talian dan mendapat ilmu pengetahuan global yang akan membuka potensi menyeluruh. 

“Usahawan akan dapat mencapai pasaran yang lebih luas dengan memulakan perniagaan dalam talian demi menjana pendapatan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi di kalangan komuniti”, katanya.

Menurutnya, satu kaedah merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar ialah penyediaan kemudahan seumpama, sekali gus memberikan peluang kepada seluruh masyarakat luar bandar untuk lebih berkembang maju.

Hajiji berkata, perasmian Internet Komuniti Luar Bandar Kampung Terolobou menandakan peristiwa penting sebagai simbolik ke arah kemajuan teknologi digital khasnya kepada seluruh penduduk luar bandar. 

Tambahnya, transformasi digital ini akan melonjakan proses perubahan teknologi digital dalam berbagai aspek kehidupan yang melibatkan masyarakat secara keseluruhan.

Comment