Maritim Malaysia bantu bawa pesakit kritikal dari Pulau Banggi
15:06 Jun 19, 2024  |  By SabahKini2
Maritim Malaysia bantu bawa pesakit kritikal dari Pulau Banggi

Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, Pesakit berumur lima tahun mengalami kecederaan serius di kepala menyebabkan pendarahan dan keretakan tengkorak kepala akibat kemalangan dan perlu segera dirawat di Hospital Kudat.

KUDAT: Seorang pesakit kritikal memerlukan rawatan segera di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi dibawa ke Hospital Kudat dengan bantuan aset laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat di sini.

Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, misi bantuan Medical Evacuation (MEDEVAC) dilaksanakan aset ronda Zon Maritim Kudat iaitu Bot ADAL 03 sebaik menerima panggilan daripada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi sekitar pukul 2.00 petang Selasa.

“Pesakit berumur lima tahun mengalami kecederaan serius di kepala menyebabkan pendarahan dan keretakan tengkorak kepala akibat kemalangan dan perlu segera dirawat di Hospital Kudat.

“Mangsa diiringi ibunya dan seorang kakitangan kesihatan tiba di Jeti Marina, Kudat lebih kurang pukul 3.05 petang.

“Mangsa seterusnya dipindahkan ke ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kudat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini pesakit terbabit dilaporkan masih lagi mendapatkan rawatan lanjut oleh pakar yang berkaitan, sehingga keadaannya stabil.

“Maritim Malaysia terus komited membantu komuniti maritim dan sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

Comment