Isu tapak pelupusan sampah PBT akan dikaji oleh KKTP
16:06 Jun 19, 2024  |  By SabahKini2
Isu tapak pelupusan sampah PBT akan dikaji oleh KKTP

Menterinya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, isu berkenaan merupakan antara perkara-perkara yang dibangkitkan semasa siri lawatan kembara beliau ke PBT Kota Belud dan Kota Marudu baru-baru ini.

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) mengetuai 'task force' untuk mengkaji dan mencari penyelesaian bagi tapak pelupusan sampah bersama dengan Pihak-pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, isu berkenaan merupakan antara perkara-perkara yang dibangkitkan semasa siri lawatan kembara beliau ke PBT Kota Belud dan Kota Marudu baru-baru ini.

Semasa lawatan ke PBT Kota Belud, Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri telah diberikan taklimat tadbir urus oleh Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kota Belud, Kamariah Haji Ismail.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd. Arshad Bistari; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengerusi Majlis Daerah Kota Belud, Bakri Nanun; wakil Ketua Polis Daerah Kota Belud, Inspektor Sabestian Ak Pendie; serta Ahli-ahli Majlis Daerah dan Pegawai-pegawai KKTP.

Antara perkara yang dibincangkan adalah isu tapak pelupusan sampah.

Semasa lawatan ke PBT Kota Marudu, Joachim dan rombongan telah diberikan taklimat Tadbir Urus Majlis Daerah Kota Marudu oleh Pegawai Eksekutifnya, Abdul Sani Arsat.

Beliau dimaklumkan bahawa tapak pelupusan sampah bagi Kota Marudu tidak dapat menampung kuantiti atau jumlah sampah yang dikutip oleh Majlis, selain laluan jalan ke pusat pelupusan rosak dan sukar dilalui apabila musim hujan dan perlu dinaik taraf.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan kembara Joachim ke semua PBT di Sabah yang bermula sejak awal tahun ini.

Comment