Op Koloni Setinggan akan dijalan secara bertingkat dan menyeluruh
18:06 Jun 21, 2024  |  By SabahKini2
Op Koloni Setinggan akan dijalan secara bertingkat dan menyeluruh

Sasaran fasa pertama operasi itu adalah koloni setinggan kecil-kecilan, kemudian diperlus ke koloni bersaiz sederhana dan fasa akhir membabitkan koloni berskala besar.

KOTA KINABALU: Operasi besar-besaran `Op Koloni Setinggan' sudah bermula di empat daerah dan akan diperluaskan ke seluruh negeri secara berperingkat.

Sasaran fasa pertama operasi itu adalah koloni setinggan kecil-kecilan, kemudian diperlus ke koloni bersaiz sederhana dan fasa akhir membabitkan koloni berskala besar.

Sejumlah 1,388 notis perobohan sudah ditampal di koloni setinggan empat daerah -- Kota Kinabalu, Labuan, Kudat dan Semporna.

Gerakan menampal notis yang kemudian disusuli operasi perobohan dijalankan secara bersepadu membabitkan pelbagai jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan serta agensi-agensi penguatkuasa.

Mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), kerajaan terlebih dahulu mengenal pasti rumah-rumah dalam koloni setinggan itu sebelum mengeluarkan notis perobohan dengan memberikan masa secukupnya kepada penghuni mengosongkan tempat itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dalam satu pertemuan eksklusif menjelaskan `Op Koloni Setinggan' itu bakal menyelesaikan secara tuntas isu setinggan dan kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah dalam jangka panjang.

Katanya, ini kerana menerusi operasi itu, sekurang-kurangnya lima masalah yang membelenggu di negeri ini akan turut dapat ditangani.

"Operasi ini dapat mengatasi pencerobohan tanah kerajaan, menangani isu jenayah, kes-kes kecurian elektrik dan air serta kebersihan persekitaran," katanya.

Menurutnya, koloni setinggan di negeri ini sememangnya sinonim sebagai tempat aktiviti jenayah termasuk penyalahgunaan dadah, kotor dengan pelbagai sampah-sarap selain punca kecurian elektrik dan air.

Beliau berkata penempatan setinggan ini lazimnya menduduki tanah milik kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan, justeru ia perlu dibersihkan dan kawasan berkenaan diserah kepada pemilik sah.

"Selepas koloni setinggan ini dibersihkan, pihak berkuasa akan memagar atau membina papan tanda melarang pencerobohan.

"Jika selepas itu berlaku pencerobohan semula, maka mudah bagi kita mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Jauteh berkata apabila penghuni koloni setinggan diberikan notis pengosongan tempat dan perobohan, mereka secara automatik akan mencari tempat tinggal baharu.

Dalam hal ini, mereka hanya akan diterima di tempat baharu jika mempunyai dokumen sah.

"Dengan demikian, mereka yang tidak mempunyai dokumen akan dapat dijejaki pihak berkuasa dan dapat dikenakan tindakan mengikut undang-undang," katanya.

Jauteh yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada 2 Mei 2023, melihat isu setinggan dan pendatang tanpa izin ini sebagai `isu tradisi' yang sudah berlanjutan sejak sekian lama.

Menurutnya, Op Koloni Setinggan yang diperkenalkannya adalah sebahagian pendekatan komprehensif dan menyeluruh untuk menangani kedua-dua isu berkenaan secara tuntas.

"Kita melihat usaha dan tindakan kita selama ini sememangnya berkesan, justeru pendekatan lebih menyeluruh diperlukan supaya hasil dan kesannya berkekalan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, satu pasukan khas ditubuhkan untuk mengendalikan operasi perobohan itu.

Beliau menganggarkan jumlah koloni setinggan seluruh Sabah mencapai ratusan lokasi, manakala jumlah rumah dianggarkan tidak kurang daripada 100,000 unit yang dikenal pasti.

Dalam penguatkuasaan dan pelaksanaan operasi, Jauteh menghargai kerjasama erat kerajaan negeri serta pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bagi menjayakannya.

"Sehingga kini, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri amat baik sekali. 

"Ini menunjukkan ada komitmen bersama untuk menyelesaikan masalah ini. Kita berharap kerjasama ini kekal dan berterusan," katanya.

2 Comments