Enspek Subsea Sabah meterai MoU tingkat keupayaan, kecekapan operasi dasar laut
21:06 Jun 27, 2024  |  By SabahKini2
Enspek Subsea Sabah meterai MoU tingkat keupayaan, kecekapan operasi dasar laut

Sebagai penyedia perkhidmatan pemeriksaan dan peralatan sublaut tempatan yang pertama di Sabah, Enspek Subsea Sabah berperanan penting sebagai pemain penting sektor minyak dan gas di Sabah.

KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara Enspek Subsea Sabah dengan Enspek Offshore Asia bakal meningkatkan lagi keupayaan dan kecekapan operasi dasar laut terutama dalam industri minyak dan gas di negeri ini.

Sebagai penyedia perkhidmatan pemeriksaan dan peralatan sublaut tempatan yang pertama di Sabah, Enspek Subsea Sabah berperanan penting sebagai pemain penting sektor minyak dan gas di Sabah.

Majlis menandatangani MoU berkenaan diwakili oleh Pengarah Eksekutif Enspek Subsea Datuk Azhar Khan Badil Zaman dan Pengarah Eksekutif Enspek Offshore Asia Nor Hisham Mohd. Nordin serta disaksikan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun selepas perasmian Persidangan dan Pameran Minyak, Gas & Tenaga Sabah (SOGCE) ke-11 2024 di sini hari ini.

Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua syarikat akan bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dasar laut yang komprehensif kepada industri minyak dan gas di Sabah.

Dalam pada itu, Azhar berkata, kerjasama itu dijangka meningkatkan keupayaan dan kecekapan operasi dasar laut dalam industri minyak dan gas Sabah dengan ketara.

Katanya, ia turut menetapkan penanda aras baharu bagi kualiti dan inovasi dalam sektor terbabit.

Menurutnya, Enspek Subsea Sabah sangat teruja untuk bekerjasama dengan Enspek Offshore Asia dalam membawa keupayaan pemeriksaan dasar laut yang termaju kepada industri minyak dan gas Sabah.

"Kerjasama ini menekankan komitmen kami terhadap keselamatan, inovasi dan kecemerlangan operasi," katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, MoU itu membuka satu langkah penting dalam usaha pihaknya untuk menyokong industri minyak dan gas di Sabah.

"Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran, kami menyasarkan untuk menetapkan piawaian baharu dalam perkhidmatan dasar laut.

"Ia sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan industri minyak dan gas di rantau ini," katanya.

Jalinan kerjasama kedua-dua pihak menandakan permulaan perkongsian strategik yang bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan dan inovasi dalam operasi dasar laut di rantau ini.

Kerjasama itu juga menggabungkan kepakaran khusus dasar laut Enspek Offshore Asia dengan pemahaman mendalam Enspek Subsea Sabah mengenai landskap minyak dan gas serantau.

Antara usaha yang bakal dilaksanakan bagi kedua-dua pihak dalam menyediakan teknologi termaju dan perkhidmatan komprehensif termasuk lah dengan menggunakan teknologi terkini untuk memastikan integriti dan kebolehpercayaan struktur dasar laut.

Selain itu, bagi sektor perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan, ia akan menyediakan penyelesaian yang tepat pada masanya dan berkesan untuk meminimumkan masa henti dan memanjangkan hayat aset dasar laut.

Dari segi sokongan kejuruteraan dan teknikal, kerjasama ini akan menawarkan bimbingan pakar dan penyelesaian inovatif kepada cabaran dasar laut yang kompleks.

Pada masa sama, ia akan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja tempatan untuk menyokong pertumbuhan industri jangka panjang.

Comment