Jadikan ESG norma baharu dalam PKS – Ewon
16:06 Jun 28, 2024  |  By SabahKini2
Jadikan ESG norma baharu dalam PKS – Ewon

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usaha ini penting kerana pasaran dunia memerlukan produk dan perkhidmatan yang mematuhi amalan ESG.

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini perlu menjadikan pematuhan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai norma baharu dalam perkhidmatan bagi meningkatkan lagi peluang menembusi pasaran dunia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, usaha ini penting kerana pasaran dunia memerlukan produk dan perkhidmatan yang mematuhi amalan ESG.

Katanya, usahawan PKS di negara ini perlu menjadikan pematuhan ESG sebagai norma dalam operasi syarikat mereka.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sasaran sumbangan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025 adalah sebanyak 41 peratus dengan nilai eksport PMKS disasarkan kepada 15 peratus.

“Bagi mencapai sasaran itu, PMKS di negara ini perlu mematuhi amalan ESG agar dapat menembusi pasaran di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Dialog Dasar dan Bengkel PKS ASEAN Hong Kong, China (AHKC) Ke Arah ESG 2024 di sini.

Program itu disertai lebih 300 peserta dari PKS tempatan, negara-negara anggota ASEAN serta Hong Kong dan China.

Ewon berkata, kementeriannya sudah melancarkan Garis Panduan Pantas Pematuhan ESG untuk PMKS di negara ini Februari lalu.

"Diharapkan dengan adanya panduan dan seminar seperti ini serta program berterusan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta agensi kementerian lain seperti SME Corp dapat membantu mencapai sasaran yang tetapkan dalam dasar negara melalui pengamalan ESG," katanya.

Beliau berharap seminar ini menjadi platform bertukar kepakaran dan pandangan mengenai kepentingan pematuhan ESG agar menjadi norma baharu dalam perusahaan PKS bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau ASEAN.

Comment