Sabah lancar PTPS, portal gabungan semua penaja pendidikan
16:07 Jul 02, 2024  |  By SabahKini2
Sabah lancar PTPS, portal gabungan semua penaja pendidikan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembangunan portal yang bersepadu itu adalah pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan-badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan.

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah dengan kejayaan menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu portal dikenali Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Ia adalah inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan di negeri ini. 

Hajiji berkata, gabungan itu terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN), Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta agensi pemberi bantuan dalam pendidikan iaitu Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Menurutnya, pembangunan portal yang bersepadu itu adalah pendekatan holistik untuk menyelaraskan semua badan-badan penaja di Sabah dan agensi pemberi bantuan pendidikan. 

"Portal ini akan menjadi platform rasmi kepada pelajar untuk memohon tajaan pendidikan di negeri ini.

"Sebelum ini, semua penaja mengendalikan proses tajaan secara berasingan melalui laman web masing-masing. Namun, melalui portal ini permohonan akan digabungkan dan diintegrasikan di dalam satu portal.

"Justeru pelancaran portal ini memberi impak yang sangat positif kerana memudahkan pelajar untuk memohon tajaan dan bantuan pendidikan yang bersesuaian dengan kursus atau tempat pengajian," katanya pada Majlis Pelancaran PTPS di sini hari ini.

Beliau berkata, ia juga dapat memastikan bantuan diberikan secara efisien dan berkesan serta mengatasi pertindihan penajaan dengan memberikan peluang yang adil kepada pelajar.

Selain itu jelasnya, usaha itu menambah lagi bilangan pelajar yang mendapat bantuan kewangan dan seterusnya menyokong pembangunan modal insan negeri secara efektif.

Hajiji berkata, kerajaan negeri amat prihatin terhadap anak-anak Sabah yang tidak mempunyai tajaan dengan mengambil inisiatif mengadakan program jelajah yang diketuai oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selaku Exco Pendidikan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Katanya, jelajah berkenaan turut disertai badan-badan penaja dan pemberi bantuan pendidikan di negeri Sabah terdiri daripada JPAN, YS, MUIS, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah. 

Menurutnya, program itu bertujuan menyantuni dan mengenal pasti pelajar-pelajar Sabah yang tidak mempunyai tajaan dan mendengar suara mereka mengenai isu dan hal ehwal di universiti. 

Beliau berkata, program berkenaan berlangsung dari April hingga Jun tahun ini serta berjaya mengenal pasti seramai 2,130 pelajar Sabah untuk diberikan tajaan selepas menyantuni pelajar Sabah di 26 universiti awam induk dan cawangan, melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Sehubungan itu, pihaknya berharap lebih banyak syarikat korporat terus membantu bagi memperkasakan dana sumbangan pendidikan negeri Sabah. 

Dalam pada itu, beliau juga mahu semua Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil sama-sama memainkan peranan menghebahkan maklumat mengenai hala tuju pembangunan modal insan melalui PTPS.

"Ini bagi memastikan pelajar-pelajar luar bandar tidak tercicir dalam pembangunan modal insan selaras dengan inisiatif SMJ.

"Kerajaan negeri akan terus menyokong dan komited dalam memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini," katanya.

Comment