Sabah komited perkasa modal insan, pendidikan menerusi inisiatif SMJ
16:07 Jul 02, 2024  |  By SabahKini2
Sabah komited perkasa modal insan, pendidikan menerusi inisiatif SMJ

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, banyak bantuan dan inisiatif yang diberikan kerajaan menerusi agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan anak-anak Sabah mendapat pendidikan yang sempurna.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menerusi inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) akan terus menyokong dan komited memperkasa modal insan menerusi pembangunan sektor pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, banyak bantuan dan inisiatif yang diberikan kerajaan menerusi agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan anakanak Sabah mendapat pendidikan yang sempurna.

Beliau berkata, antaranya Kumpulan Yayasan Sabah (YS) menyediakan beberapa inisiatif bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah.

Katanya, ia merangkumi biasiswa, dermasiswa menengah, biasiswa dan dermasiswa pengajian tinggi dan pinjaman pengajian tinggi dengan seramai 121,897 orang pelajar mendapat manfaat melibatkan perbelanjaan berjumlah RM868,324,000 sejak 1967 hingga Jun 2024.

"Pada tahun ini sahaja, YS menaja biasiswa kepada seramai 1,179 dengan peruntukan RM15,271,000 dan bantuan pinjaman membabitkan 675 pelajar dengan peruntukan RM12,055,000," katanya pada Majlis Pelancaran Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri pada 2023 menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta dengan jumlah tajaan yang aktif pada tahun ini seramai 7,275 pelajar di dalam dan luar negara. 

Menurutnya, penambahan peruntukan itu membolehkan lebih ramai anak Sabah yang kurang berkemampuan berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
 
Beliau berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2 Jun 2023 untuk mengumpul dana bagi membolehkan lebih banyak peluang tajaan dapat disalurkan kepada anak-anak Sabah yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
 
Katanya, dengan jumlah sumbangan dana yang terkumpul sebanyak RM55,700,000, seramai 5,040 orang pelajar mendapat bantuan dengan perbelanjaan berjumlah RM5,167,000.

"Kerajaan negeri akan terus memperkasa TPNS bagi membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah tajaan pendidikan.

"Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga komited terhadap kebajikan yang diperlukan oleh anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian dengan memberikan bantuan pendidikan yuran pendaftaran, bantuan tiket penerbangan secara 'one-off' serta dermasiswa khususnya kursus pengajian Islam.
 
"Pada 2023, dermasiswa diberikan kepada 1,900 pelajar dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM12,301,000 manakala untuk bantuan pendidikan secara 'one-off', bantuan-bantuan yang diberikan ialah yuran pendaftaran awal, bantuan tiket penerbangan 'oneoff' dan Anugerah pelajar Cemerlang (APC) untuk Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)," jelasnya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri turut melancarkan pelbagai inisiatif di bawah Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dengan 10 jenis bantuan dalam pelbagai aspek.

Katanya, prihatin dengan rintihan pelajar mengenai kos tiket penerbangan yang tinggi, kerajaan negeri buat julung kalinya memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah (SubFly) berjumlah RM600 kepada semua pelajar Sabah yang belajar di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac lalu dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. 

Beliau berkata, kerajaan menerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah memberikan bantuan kewangan awal pendidikan kepada pelajar-pelajar di peringkat asasi, matrikulasi, diploma dan ijazah sarjana muda di universiti awam, universiti swasta dan politeknik untuk semua bidang pengajian.

Beliau berkata, bermula dari 2020 hingga kini, seramai 1,160 pelajar menerima manfaat bantuan secara 'one-off' itu melibatkan peruntukan sebanyak RM452,250.

Comment