Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), peningkatan itu membabitkan mangsa yang dipindahkan ke PPS di daerah Penampang yang bertambah kepada 296 mangsa.
KOTA KINABALU: Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sabah meningkat kepada 481 orang setakat jam 4 petang Selasa.
Jumlah itu membabitkan mangsa yang dipindahkan di empat PPS yang dibuka di empat daerah setakat ini iaitu di Penampang, Putatan, Tuaran dan daerah kecil Tamparuli.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), peningkatan itu membabitkan mangsa yang dipindahkan ke PPS di daerah Penampang yang bertambah kepada 296 mangsa.
“PPS Dewan Sri Putatan turut meningkat kepada 138 iaitu peningkatan sebanyak 38 mangsa banjir berbandibg sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS Balai Raya Kampung Tutu Selupoh Tuaran kekal 29 mangsa daripada lapan keluarga sejak petang semalam.
“Begitu juga jumlah mangsa banjir dipindahkan di PPS Balai Raya Kampung Bontoi di Tamparuli, kekal seramai 18 orang daripada lima keluarga,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemantauan dan penilaian pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Putatan setakat mendapati keadaan paras sungai sudah berada di paras terkawal.
Katanya, perkembangan positif juga menunjukkan terdapat jalan-jalan yang sudah boleh dilalui, antaranya Jalan Kampung Tebongon. Kampung Ulu, Ketiau, Sailan dan Duvanson iaitu paras air terkawal dan boleh dilalui semua jenis kenderaan.
“Anggota APM Putatan masih membuat pemantauan berterusan di kawasan Hotspot yang berisiko dinaiki air lagi bagi bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.
Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam perkongsian di laman rasmi Facebook memaklumkan laluan CH21.900 bagi kegagalan cerun di Jalan Persekutuan (R500) Jalan Kota Kinabalu- Keningau-Tenom terputus dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Katanya, pihak konsesi sedang melaksanakan kerja pembersihan tanah runtuh dan menyediakan tapak untuk lencongan sementara bagi satu lorong.
“Beberapa laluan lain iaitu CH5.800 sudah boleh dilalui bagi kedua-dua lorong selepas pihak konsesi selesai melaksanakan kerja pembersihan akibat jalan banjir.
“Bagi laluan CH10.200 hanya satu lorong boleh dilalui berikutan pihak konsesi sedang melaksanakan kerja pembersihan akibat jalan banjir.
“Begitu juga dengan laluan CH24.300 yang hanya boleh dilalui satu lorong selepas pihak konsesi dari Keningau sedang melaksanakan kerja pembersihan di laluan terbabit,” katanya.
Tambahnya, laluan CH21.30 iaitu kawasan sisa hakisan dari CH21.9 sudah boleh dilalui satu lorong dan pihak konsesi sedang melaksanakan pembersihan batu dan lumpur di kawasan berkenaan.
Buat masa ini, pemindahan mangsa banjir berlangsung secara berterusan termasuk bantuan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.
Antara operasi yang dilaksanakan ialah bantuan mengangkat seorang pesakit di Kampung Bambangan 2, Jalan Kionsom, Inanam, Kota Kinabalu disebabkan jalan rosak dan berlumpur akibat banjir sejauh 100 meter di kawasan rumah mangsa.
Mangsa berusia 63 tahun kemudian diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke Hospital Likas bagi menjalani dialisis.
Turut dibantu dua warga emas di Kampung Bawang, Tamparuli, akibat jalan terputus disebabkan banjir.
Kedua-dua mereka yang berumur lingkungan 60 tahun dihantar ke Hospital Tuaran untuk menjalani rawatan dialisis menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran.