37 kluster homestay dengan 459 peserta seluruh Sabah
18:07 Jul 11, 2024  |  By SabahKini2
37 kluster homestay dengan 459 peserta seluruh Sabah

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, kesemua kluster berkenaan melibatkan masing-masing tiga di Kota Kinabalu dan Lahad Datu, sembilan di Kota Belud, dan empat di Kinabatangan.

KOTA KINABALU: Sebanyak 37 kluster homestay di 17 daerah direkodkan dengan bilangan sebanyak 459 peserta homestay di seluruh Sabah.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, kesemua kluster berkenaan melibatkan masing-masing tiga di Kota Kinabalu dan Lahad Datu, sembilan di Kota Belud, dan empat di Kinabatangan.

Selain itu katanya, terdapat dua kluster masing-masing di Papar, Ranau, Tambunan, dan Tuaran, manakala satu di Kota Marudu, Kuala Penyu, Beaufort, Kudat, Penampang, Pitas, Semporna, Sipitang-Long Pasia, dan Tawau.

"Bagi menjalin keterlibatan secara berterusan dengan pengusaha homestay yang berdaftar, kementerian saya sentiasa berkerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang juga penyelaras bagi program homestay di Malaysia.

"Pelbagai kursus ditawarkan oleh MOTAC untuk meningkatkan kemahiran kepada para pengusaha homestay seperti kursus pemasaran digital, kursus asas bahasa, Kursus Mesra Malaysia, dan kursus mengenai kelestarian alam," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr. Yusof Yacob (Gagasan Rakyat-Sindumin) mengenai jumlah homestay di negeri ini mengikut daerah pada Persidangan DUN Sabah di sini hari ini.

Joniston berkata, MOTAC juga sentiasa mengadakan mesyuarat tahunan bersama penyelaras kluster homestay bagi mendapatkan maklum balas serta mengenal pasti masalah yang dihadapi termasuklah isu-isu semasa berkenaan scammer dan penipuan.

"Bagi mengelakkan kes-kes sedemikian semakin berleluasa, pihak MOTAC sememangnya membangunkan laman sesawang iaitu Program Pengalaman Homestay Malaysia.

"Senarai-senarai pengusaha homestay boleh diperolehi melalui laman sesawang berkenaan untuk dijadikan panduan kepada pengguna mahupun pelancong," jelasnya.

Sementara itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO-Lamag) dalam soalan tambahan bertanya mengenai usaha kementerian untuk memastikan industri homestay memberi manfaat kepada seluruh Sabah dan keperluan dalam menaik taraf homestay memenuhi standard semasa.

Joniston berkata, Sabah melihat trend yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong Eropah adalah pengembaraan berfokuskan alam semula jadi, dengan kawasan luar bandar menjadi semakin popular sebagai destinasi pilihan.

Beliau berkata, usaha kerjasama turut dimulakan melibatkan kementeriannya bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar, dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.

Katanya, ia bertujuan menangani keperluan infrastruktur berkaitan pelancongan, pembangunan luar bandar dan pertanian yang menyelaraskan usaha meningkatkan potensi pelancongan Sabah.

"Naik taraf homestay kita juga perlu dijalankan untuk mengenal pasti penambahbaikan dengan penglibatan berterusan dengan Majlis Tindakan Pelancongan Daerah, Persatuan Homestay Sabah, dan Persekutuan Persatuan Pelancongan Luar Bandar Sabah (FeRTAS)," katanya.

Comment