Sabah kukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai sektor
18:07 Jul 11, 2024  |  By SabahKini2
Sabah kukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai sektor

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada masa ini sudah ada pelabur dari China ke Sabah antaranya Kumpulan Kibing yang melabur dalam pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

KOTA KINABALU: Sabah komited memperkukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai sektor untuk membawa lebih ramai pelabur dari negara itu datang ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada masa ini sudah ada pelabur dari China ke Sabah antaranya Kumpulan Kibing yang melabur dalam pembuatan kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

"Kehadiran pelabur-pelabur ke Sabah bukan sahaja mampu meningkatkan ekonomi negeri malah dalam masa sama dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

"Oleh itu, saya berharap lebih banyak lagi pelabur dari negara China melabur ke negeri ini dan kita amat mengalu-alukan kehadiran mereka.

"Sudah pasti dengan lebih ramai pelabur datang termasuk dari China, ia akan membawa petunjuk yang baik kepada ekonomi kita,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Huang Shifang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Josie Lai. 

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus bekerjasama untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di negeri ini.

"Saya berasa gembira dengan kehadiran ramai pelancong China ke Sabah terutama selepas COVID-19. Saya berharap kehadiran pelancong dari China akan terus meningkat.

"Justeru, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Persekutuan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan di negeri ini.

“Saya juga mahu isu-isu berkaitan keselamatan pelancong yang datang ke negeri ini akan diberi keutamaan. Kita tidak mahu berlaku kes yang tidak diingini membabitkan pelancong luar di negeri ini," jelasnya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan buat yang terbaik untuk memastikan keselamatan orang ramai termasuk pelancong ke negeri ini.

Dalam kunjungan hormat itu turut disentuh mengenai program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H).

Sehubungan itu, beliau mahu Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan MOTAC untuk memperincikan mengenai isu berkenaan.

Sementara itu, Ouyang berkata, pelancong dari China dijangka meningkat dua kali ganda untuk datang ke Malaysia pada musim panas bulan Julai ini.

“Sudah tentu pelancong yang datang ke Malaysia juga akan berkunjung ke Sabah,” katanya.

Selain pelancongan, beliau berkata kerajaan China menggalakkan pelaburan dari negara itu ke Malaysia dalam bidang teknologi tinggi seperti ekonomi digital, AI, solar dan e-dagang.

“Sudah pasti kedua-dua negara akan menerima manfaat daripada hubungan dua hala ini khususnya dalam aspek pelaburan dalam bidang teknologi tinggi” katanya.

2 Comments