37 kes tangkapan, RM1.2 juta jumlah rampasan direkodkan Maritim Malaysia
16:07 Jul 15, 2024  |  By SabahKini2
37 kes tangkapan, RM1.2 juta jumlah rampasan direkodkan Maritim Malaysia

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, jumlah kes tangkapan ini hampir menyamai jumlah kes tangkapan pada tahun 2022 dan 2023.

SANDAKAN: Sebanyak 37 kes tangkapan dengan jumlah rampasan dianggarkan melebihi RM1.2 juta direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan bagi tempoh januari hingga 30 Jun lalu.   

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, jumlah kes tangkapan ini hampir menyamai jumlah kes tangkapan pada tahun 2022 dan 2023.

Katanya, tahun 2022 lalu bagi tempoh yang sama merekodkan sebanyak 47 kes dengan nilai rampasan lebih RM86,000 serta 42 kes pada tahun 2023 dengan nilai rampasan melebihi RM270,000.

“Kes tangkapan yang dilakukan membuktikan bahawa Maritim Malaysia, khususnya Zon Maritim Sandakan, serius membanteras aktiviti jenayah dan salah laku di laut.

“Kejayaan kes tangkapan ini turut dibantu oleh maklumat orang ramai, khususnya komuniti maritim seperti nelayan yang mengetahui gerak geri dan aktiviti di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Kembara Sahabat Maritim 2024 di Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan Baru, Pulau Timbang Sandakan, semalam.

Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik; Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain; Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Sabah, Ibrahim Othman serta Guru Besar SK Terusan Baru, Osman Ghani.

Saiful berharap komuniti maritim terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Maritim Malaysia, agar aktiviti salah laku serta jenayah di laut dapat dibendung, seterusnya memastikan perairan negara selamat dan sejahtera.

 Beliau juga berharap program bersama komuniti seperti Sahabat Maritim dapat dilaksanakan secara berkala agar kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti maritim dapat diperkukuhkan lagi.

Katanya, program Kembara Sahabat Maritim 2024 ini adalah satu langkah proaktif dalam mempererat hubungan dengan komuniti maritim.

“Selain itu, dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan maritim, serta memastikan perairan negara terus selamat daripada ancaman bahaya.

“Melalui pelbagai aktiviti dan program yang dirancang, Maritim Malaysia yakin dan percaya keselamatan serta kesejahteraan perairan negara akan terus terpelihara,” katanya.

 Terdahulu, Program Kembara Sahabat Maritim ini telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 12 hingga 14 Julai.

Comment