80 rumah setinggan dirobohkan, 3 wanita Filipina ditahan IPD Kota Kinabalu
16:07 Jul 16, 2024  |  By SabahKini2
80 rumah setinggan dirobohkan, 3 wanita Filipina ditahan IPD Kota Kinabalu

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tindakan terbabit dijalankan semasa Op Pendatang Tanpa Izin (PTI) Bersepadu Mega bagi daerah ini yang bermula jam 10 pagi sehingga 3 petang 15 Julai lalu.

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu merobohkan 80 rumah koloni setinggan sekitar sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, tindakan terbabit dijalankan semasa Op Pendatang Tanpa Izin (PTI) Bersepadu Mega bagi daerah ini yang bermula jam 10 pagi sehingga 3 petang 15 Julai lalu.

“Operasi yang dijalankan selama lima jam ini berjaya merobohkan 80 struktur haram yang didirikan di kawasan tanah yang tidak dibenarkan.

“Sepanjang operasi dijalankan, polis turut menahan tiga wanita warga Filipina yang gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, tangkapan PTI akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 51(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kasim berkata, operasi dijalankan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Ketua Menteri (JKM), Sabah Eletricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JAND), Jabatan Tanah Dan Ukur dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, operasi ini akan dijalankan secara berterusan pada masa akan datang, dalam usaha membenteras jenayah, PTI, dadah dan gejala sosial di Kota Kinabalu.

Comment