Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, cubaan menyeludup rokok terbesar membabitkan rampasan RM8.05 juta itu berjaya digagalkan selepas stor tidak bernombor di Lorong Sedco 9, Batu 3, Sandakan itu diserbu kira-kira jam
KOTA KINABALU: Taktik penyeludup menyembunyikan rokok tidak berkastam di sebuah stor bagi mengelak cukai dan mendapatkan kelebihan perniagaan di pasaran tempatan berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, cubaan menyeludup rokok terbesar membabitkan rampasan RM8.05 juta itu berjaya digagalkan selepas stor tidak bernombor di Lorong Sedco 9, Batu 3, Sandakan itu diserbu kira-kira jam 4.55 petang Sabtu lalu.
Katanya, bertindak dengan maklumat daripada Cawangan Risikan Zon Sabah, pasukan serbuan yang terdiri daripada anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kota Kinabalu dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Kastam Sandakan menyerbu lokasi yang dijadikan sebagai tempat menyimpan rokok seludup terbabit.
“Hasil serbuan berjaya merampas 5,262,280 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam bernilai RM526,228 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM7,525,727.60, manakala nilai keseluruhan sebanyak RM8,051,955.60.
“Pasukan operasi berjaya merampas tiga kenderaan iaitu kenderaan jenis sedan, pacuan empat roda serta van yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
“Selain itu, kita juga menahan tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 33 hingga 47 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Menara Kastam, di Jalan Sulaman, di sini.
Menurutnya, pihaknya percaya semua rokok berkenaan diseludup masuk dengan niat mengelak cukai dan mendapatkan kelebihan perniagaan di pasaran tempatan.
Katanya, rokok berkenaan banyak dibawa masuk ke daerah di pantai timur negeri ini berikutan permintaan golongan berpendapatan rendah terutamanya pekerja ladang.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang tidak berkastam bagi tujuan mengelak cukai.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana yang lebih besar.
"Pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya," katanya.
Mohd Nasir berkata, JKDM Sabah sentiasa komited dalam menangani sebarang aktiviti yang melibatkan penyeludupan barang larangan dan barang tidak berkastam.
Katanya, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai disarankan supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.
“Salurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 dan Kastam juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan," katanya.