SPRM Sabah bongkar sindiket pasport terbang
00:07 Jul 18, 2024  |  By SabahKini2
SPRM Sabah bongkar sindiket pasport terbang

Risikan yang dijalankan selama sebulan berjaya membongkar sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu, membabitkan wang rasuah kira-kira RM300,000 diterima penguatkuasa terbabit.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berjaya membongkar dan menumpaskan sindiket pemalsuan pasport atau 'pasport terbang' susulan penahanan tiga anggota penguatkuasa sebuah jabatan menerusi Op Fly pagi tadi.

Risikan yang dijalankan selama sebulan berjaya membongkar sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu, membabitkan wang rasuah kira-kira RM300,000 diterima penguatkuasa terbabit.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun dipercayai ditahan kira-kira 2 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

"Semua suspek yang ditahan dipercayai melakukan perbuatan itu sejak 2023 sehingga kini dan menerima wang rasuah kira-kira RM3,000 setiap seorang bagi seorang pemohon.

"Siasatan awal mendapati seramai 100 pemohon yang terbabit dan modus operandi adalah dengan memalsukan tandatangan penerima serta memanipulasi sistem cap jari pemohon di mana peraturan menetapkan pemohon perlu hadir sendiri di agensi untuk mengambil pasport yang sudah diluluskan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, anggota penguat kuasa yang terbabit kemudian menyerahkan pasport kepada orang tengah tanpa kehadiran pemohon yang masih berada di luar negara.

"Hasil siasatan menunjukkan penguat kuasa terbabit menerima wang rasuah daripada agen secara pindahan wang ke akaun bank milik salah seorang penguat kuasa yang kemudian mengagihkan kepada rakan-rakannya," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

"Semua suspek akan di bawa ke Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah, esok bagi mendapatkan permohonan reman dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan mengenai kes ini akan dibuat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

Comment