KOTA KINABALU: Dua rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Pasir Putih Pulau Gaya, di sini.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rashid Daud berkata, panggilan kecemasan berkenaan kejadian diterima pada jam 11.19 pagi.
Katanya, bertindak dengan maklumat, sembilan pegawai dan anggota bersama jentera yang membawa bot digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Berdasarkan kenyataan awal pengadu, kebakaran membabitkan tiga buah rumah.
“Bertindak dengan kejadian, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bergerak ke Tanjung Aru First Beach untuk menurunkan bot bagi membolehkan pasukan bergerak ke lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, semasa ketibaan pihak bomba di lokasi hanya dua buah rumah yang terlibat masing-masing seluas 30X30 kaki persegi dan terbakar sepenuhnya dalam kejadian ini.
“Api Berjaya dipadamkan oleh penduduk kampung bersama bantuan daripada anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lok Urai menggunakan air sebelum ketibaan bomba.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini dan sebarang maklumat akan di kemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan dikawasan kebakaran untuk memastikan tiada bahaya lain.
Katanya, operasi keseluruhan ditamatkan jam 1.05 petang.