Maritim Malaysia tahan tiga nelayan warga asing bawa 5,000 liter diesel tanpa permit
19:07 Jul 18, 2024  |  By SabahKini2
Maritim Malaysia tahan tiga nelayan warga asing bawa 5,000 liter diesel tanpa permit

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemukan 5,000 liter minyak diesel tanpa permit yang sah disimpan dalam tangki minyak yang telah diubah suai.

SANDAKAN: Tiga nelayan warga asing ditahan selepas didapati membawa 5,000 liter minyak diesel tanpa permit yang sah di perairan daerah ini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.05 petang itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan sebuah bot nelayan di kedudukan 0.8 batu nautika tenggara jeti awam Kampung Karamunting     

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya bertindak menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan awal.

Katanya, hasil pemeriksaan, bot yang didaftarkan atas lesen perikanan dikendalikan tiga lelaki warga asing yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah berusia antara 29 hingga 57 tahun.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemukan 5,000 liter minyak diesel tanpa permit yang sah disimpan dalam tangki minyak yang telah diubah suai.

“Pemeriksaan ke atas dokumen bot berkenaan juga mendapati nama nakhoda tidak sama seperti dalam lesen,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan termasuk barang kawalan dan bot dianggarkan bernilai RM90,000.

“Semua barang kawalan, bot beserta kru dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Seksyen 21 akta sama iaitu membawa muatan minyak tanpa kebenaran,” katanya.

Comment