KOTA KINABALU: Tiga anggota penguatkuasa di sebuah jabatan yang dipercayai terlibat dengan sindiket pemalsuan pasport atau 'pasport terbang' direman enam hari untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali di Mahkamah Masjitret, di sini hari ini.
Permohonan reman bermula 19 hingga 24 Julai itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung sindiket pemalsuan pembaharuan pasport yang dipercayai bergerak aktif sejak 2023 sehingga kini.
Pendakwaan bagi ketiga-tiga suspek dikendalikan Pegawai Pendakwa, Norsham Saharom manakala dua daripada suspek diwakili Peguam, Luqman Syazwan Zabidi dan Elhanan James.
Terdahulu, SPRM Sabah berjaya membongkar kegiatan sindiket 'pasport terbang' dengan penahanan tiga anggota penguat kuasa di sebuah jabatan menerusi Op Fly yang dilaksanakan baru-baru ini.
Risikan yang dijalankan selama sebulan berjaya membongkar sindiket itu yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu, membabitkan wang rasuah kira-kira RM300,000 diterima penguatkuasa terbabit.
Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun ditahan kira-kira 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.
Suspek disyaki menerima rasuah kira-kira RM300,000 daripada sindiket pemalsuan pembaharuan pasport dengan memalsukan tandatangan penerima serta memanipulasi sistem cap jari pemohon di mana peraturan menetapkan pemohon perlu hadir sendiri di agensi untuk mengambil pasport yang sudah diluluskan.
Anggota penguat kuasa yang terbabit kemudian menyerahkan pasport kepada orang tengah tanpa kehadiran pemohon yang masih berada di luar negara.
Rasuah yang diterima daripada agen secara pindahan wang ke akaun bank milik salah seorang penguat kuasa yang kemudian mengagihkan kepada rakan-rakannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.