Bayi berusia tiga hari diselamatkan Maritim Malaysia Kudat
20:07 Jul 18, 2024  |  By SabahKini2
Bayi berusia tiga hari diselamatkan Maritim Malaysia Kudat

Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bayi yang mengalami demam dan berisiko mendapat jangkitan selaput otak serta serangan sawan di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi.

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat melaksanakan misi bantuan Medical Evacuation (Medevac) seorang bayi berusia tiga hari yang memerlukan rawatan segera di sini.

Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bayi yang mengalami demam dan berisiko mendapat jangkitan selaput otak serta serangan sawan di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi, perlu mendapatkan rawatan segara di Hospital Kudat.

Katanya, misi bantuan Medevac dilaksanakan aset ronda Zon Maritim Kudat iaitu Bot Halilintar 02 selepas menerima panggilan daripada pegawai perubatan klinik kesihatan jam 3 petang.

"Bayi diiringi ibunya dan tiga kakitangan kesihatan tiba di Jeti Marina, kira-kira jam 5 petang.

"Bayi kemudian dipindahkan ke ambulans untuk mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Kudat," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, bayi terbabit dilaporkan masih lagi mendapatkan rawatan lanjut dan diberikan pemantauan rapi sehingga keadaannya stabil.

Katanya, sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.

Comment