PAWE diseluruh negara dapat peruntukkan RM50,000 daripada KPWKM
18:07 Jul 22, 2024  |  By SabahKini2
PAWE diseluruh negara dapat peruntukkan RM50,000 daripada KPWKM

Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, peruntukan itu adalah untuk kegunaan aktiviti yang dirancang oleh setiap PAWE sepanjang tahun ini.

TAWAU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukan sebanyak RM50,000 untuk setiap Pusat Warga Emas (PAWE) yang diwujudkan di seluruh negara.

Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, peruntukan itu adalah untuk kegunaan aktiviti yang dirancang oleh setiap PAWE sepanjang tahun ini.

Katanya, setakat ini sebanyak 164 buah PAWE yang diwujudkan di seluruh negara telah menerima peruntukan kerajaan menerusi belanjawan lalu.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan belanjawan mengatakan bahawa setiap Parlimen perlu ada satu PAWE diwujudkan.

“Namun, saya beranggapan bahawa mungkin boleh dibuka lebih daripada satu PAWE dalam setiap Parlimen supaya matlamat penubuhannya dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tawau, di sini hari ini.

Menurutnya, PAWE diwujudkan supaya menggalakkan lebih ramai masyarakat terutamanya warga emas berkumpul menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat.

“Kita mahukan warga emas kekal sihat dan menjadi lebih produktif kerana Malaysia kini menuju negara menua pada tahun 2030.

“Justeru, dalam persiapan itu, kita mahu lebih ramai warga emas dapat menjalankan aktiviti-aktiviti berfaedah supaya mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan berinteraksi antara satu sama lain,” katanya.

Dr Noraini menzahirkan rasa bangga kerana PAWE Tawau antara yang paling cemerlang dan aktif menjalankan aktiviti-aktiviti berfaedah.

“Kita dapati PAWE Tawau berjaya mewujudkan satu suasana baharu kepada warga emas serta menjalankan aktiviti sihat kepada ahlinya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PAWE Tawau, Chaya Sulaiman berkata, pihaknya telah menyusun aktiviti harian untuk semua 276 orang ahli yang berdaftar.

Katanya, setakat ini keahlinya PAWE terdiri 85 lelaki dan 191 wanita yang masih aktif mengikuti semua aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan selama ini.

Chaya berkata, banyak aspek yang perlu diberikan perhatian demi kelangsungan PAWE Tawau untuk terus memberikan manfaat kepada warga emas.

“Kita percaya Geran Operasi yang ada sekarang perlu dinaikkan, untuk membantu bukan hanya PAWE Tawau tapi semua institusi PAWE di seluruh negara dapat terus bergiat aktif dan memainkan peranannya.

“Misalnya, kami menanggung lebihan kos operasi kerana terpaksa menyewa premis untuk memastikan kelangsungan usaha menyantuni seramai mungkin warga emas di daerah ini,” katanya.

Comment