KOTA MARUDU: Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) membabitkan deorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang selepas pergi ke kebunnya di Kampung Tambilidon, Pitas Ahad lalu diteruskan semalam.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, SAR hari kedua dimulakan seawal jam 9.30 pagi yang dibahagikan kepada tiga sektor.
Katanya, setiap sektor membabitkan keluasan 10 ekar.
“Operasi SAR turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.
“Turut serta ialah Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM,” katanya.
Terdahulu, mangsa berumur 83 tahun itu dikatakan masuk ke kebun berkenaan dan tidak pulang sehingga Isnin.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.30 pagi Isnin sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Marcelius Junus digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi SAR hari pertama dibahagikan kepada tiga sektor dan setiap sektor berkeluasan kira-kira empat hektar.
Penduduk kampung membantu menjalankan pencarian di kawasan sektor pertama. Disebabkan tiada maklumat serta petunjuk ditemukan, operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 5 petang.