Rumah pekerja musnah terbakar di ladang Segama
18:07 Jul 24, 2024  |  By SabahKini2
Rumah pekerja musnah terbakar di ladang Segama

Ketua BBP Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, seramai lima anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

KINABATANGAN: Satu blok rumah pekerja yang mempunyai enam pintu musnah dalam kebakaran di sebuah ladang di Segama, di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.49 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama dua buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan satu blok rumah pekerja ladang berkenaan yang mempunyai enam pintu jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dibantu oleh pasukan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) ladang berkenaan sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba yang tiba di lokasi terus menjalankan operasi pemadaman supaya api tidak merebak ke kawasan lain.

“Setakat ini kebakaran hanya melibatkan kemusnahan harta benda sahaja, semua penghuni rumah terbabit berjaya keluar menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 1 petang.

“Kita akan menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian dan anggaran kerugian yang dialami mangsa,” katanya.

Comment