Curi RM24.2 juta: 2 Pengurus MBSB Bank, 8 individu termasuk ketua sindiket 'Budak Geng Upik' didakwa jenayah terancang
16:07 Jul 25, 2024  |  By SabahKini2
Curi RM24.2 juta: 2 Pengurus MBSB Bank, 8 individu termasuk ketua sindiket 'Budak Geng Upik' didakwa jenayah terancang

Duit RM24.2 juta lesap. Dua Pengurus MBSB Bank, Seorang Ketua Sindiket Josepin J Langkan budak Dato' Upik dalang mengetuai jenayah terancang bersama 7 lagi yang terlibat didakwa. Nampaknya kes berat bukan sekadar pecah amanah tetapi jenayah terancang

KOTA KINABALU: Seramai 10 individu termasuk dua pengurus MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) yang dikaitkan dengan sindiket mencuri wang akaun simpanan tetap milik pelanggan bernilai RM24.2 juta didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Selasa lalu 10 individu termasuk pengurus bank yang terlibat dengan sindiket curi wang akaun simpanan tetap milik pelanggan dianggarkan bernilai RM24.2 juta dituduh di Mahkamah Kota Kinabalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya sebelum ini menahan seramai 14 individu berusia 26 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

ARTIKEL BERKAITAN- Skandal Perbankan: Bagaimana dua pengurus cawangan MBSB Bank Kota Kinabalu dalang curi RM24.2 Juta wang pelanggan?

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada kesemua tertuduh di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan kerana kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Menurut pertuduhan, Josepin J Langkan, 38, sebagai tertuduh kedua, antara 26 April dan 17 Jun 2024 bertempat di cawangan MBSB di Kota Kinabalu didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai olehnya sendiri.

Sumber mendedahkan Josepin J Langkan merupakan orang kepercayaan Dato' Seri Maslan Sani ketua kartel dadah kumpulan jenayah terancang Geng Upik yang didakwa di mahkamah januari lalu. Rupanya kumpulan ini juga licik bukan sahaja dalam kartel dadah tetapi dalam sektor perbankan.

Bagi tertuduh pertama, T Subramaniam, 56, dituduh antara 9 Mei dan 4 Julai 2024 di cawangan bank sama didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai oleh Josepin.

Tertuduh ketiga, Nasir Abdul Rasid, 60, melakukan kesalahan itu di antara 26 April dan 1 Julai 2024 manakala tertuduh keempat dan kelima yang merupakan pengurus bank MBSB, Iren Chin Nyuk Thien, 38, dan Christina @ Caroline Pianus Etip, 53, masing-masing melakukan kesalahan antara tarikh 26 April dan 13 Jun 2024 serta 9 Mei dan 17 Jun 2024.

Christina @ Caroline Pianus Etip dan Iren Chin Nyuk Thien

 

Bagi tertuduh keenam, P Sugumaran, 56, dituduh melakukan kesalahan antara 17 Mei dan 3 Julai 2024, tertuduh ketujuh pula, Vireonis Jonok, 35, antara 5 Jun dan 26 Jun 2024 serta tertuduh kelapan, Leong Hin Ping, 62, antara 26 April dan 10 Julai 2024.

Tertuduh kesembilan, Hasran Magin, 46, dituduh melakukan kesalahan itu antara 26 April dan 1 Julai 2024 dan tertuduh terakhir, Mazlani Jenuary, 53, dituduh antara 26 April dan 4 Julai 2024.

Kesemua mereka melakukan kesalahan itu di cawangan MBSB didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius bagi faedah material kumpulan yang diketuai oleh Josepin.

Sehubungan itu, kesemua tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak 20 tahun jika disabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 September depan dan kesemua tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail dan Maryam Jamielah Ab Manaff memohon supaya mahkamah tidak membenarkan jaminan kepada semua tertuduh kerana faktor keselamatan awam dan siasatan yang turut mengambil tempoh masa lama.

Sembilan tertuduh diwakili peguam masing-masing manakala Hasran disyorkan untuk melantik peguam bagi mewakili dirinya.

Empat lagi yang direman sebelum ini belum lagi dakwa melibatkan seorang lelaki bergelar Datuk iaitu Dato’ Ahmad Razali Amir pemilik syarikar DAR Holidays Sdn Bhd dan  seorang pegawai bank bernama Amirul merupakan bekas wartawan TV Sarawak berpengkalan di Sabah yang bertunang dengan seorang pegawai Kementerian Kewangan Sabah. Dilaporkan Amirul banyak menjual data pelanggan  kepada sindiket dan 'Scammer'. Dikalangan pengamal media kekayaan tiba-tibanya sangat meragukan. Amirul juga memindahkan wang hasil curinya ke akaun tunangnya yang seorang penjawat awam di Sabah. Tunangnya turut direman sebagai rakan subahat.

 

 

4 Comments