RM211,898,427 diperuntukkan KPKT untuk pembangunan Sabah
15:07 Jul 26, 2024  |  By SabahKini2
RM211,898,427 diperuntukkan KPKT untuk pembangunan Sabah

Menteri KPKT, Nga Kor Ming secara simbolik menyerahkan peruntukan itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya pada Jumaat.

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM211,898,427 bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Sabah tahun ini.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming secara simbolik menyerahkan peruntukan itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya pada Jumaat.

Peruntukan itu bagi melaksanakan pelbagai projek dibawah KPKT dan jabatan serta agensi dibawahnya di negeri ini. 

Hajiji turut menyaksikan penyerahan Projek Menaik Taraf Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Baru Kayu Madang Kota Kinabalu yang telah siap dibina kepada kerajaan negeri. 

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib menyerahkan dokumen  siap projek kepada Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Lifred Wong. 

KPKT melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) melaksanakan projek pembinaan sel baharu di tapak pelupusan sanitari sisa pepejal Kayu Madang pada Februari 2024 dengan kos keseluruhan sebanyak RM44.14 juta. 

Tapak yang baharu siap dibina itu mampu menerima 850 metrik tan sisa pepejal sehari, dilengkapi dengan system linear, system collection leachate, sistem pelepasan gas. 

JPSPN telah menaik taraf 'Leachete Treatment Plant' dengan menggunakan teknologi nano filteration yang canggih dan membolehkan air larut resap melepasi kesemua 24 parameter yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum air terawat ini dilepaskan ke punca air. 

Projek itu akan memberikan manfaat kepada penduduk di 5 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu DBKK, Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Tuaran, Majlis Daerah Kota Belut dan Majlis Daerah Penampang.

Selain itu, KPKT melalui JPSPN juga sedang mereka bentuk dua lagi projek baharu bernilai RM77 juta iaitu Projek Pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Sisa pepejal Pantai Barat Selatan dengan kos RM47 juta dan RM30 juta untuk projek menaik taraf Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Labuk, Sandakan. 

Sementara itu, KPKT juga memohon peruntukan kepada Kementerian Ekonomi bagi kelulusan Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025 bagi empat lagi projek baharu pengurusan sisa pepejal khusus untuk Sabah bernilai hampir RM105 juta. 

Projek-projek berkenaan ialah pembinaan Fasa 1 Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Berpusat Lahad Datu Landfill Level 4 dengan kos RM40,995,364.86; penutupan selamat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Kampung Langkawit, Papar dengan kos sebanyak RM17,010,000.00; pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Kota Marudu (RM21,011,898.48) dan pembinaan Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal Keningau (RM25,956,844.95).

Comment