Murid meninggal dunia keracunan makanan bukan dari kantin
15:07 Jul 26, 2024  |  By SabahKini2
Murid meninggal dunia keracunan makanan bukan dari kantin

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, berkata guru kelas kemudian dimaklumkan bahawa murid terbabit pengsan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada malam kelmarin.

KOTA KINABALU: Seorang murid di sebuah sekolah rendah di Sandakan dilaporkan meninggal dunia akibat keracunan makanan, semalam.

Mangsa, Mohd Mifzal Anaqi, Muhammad Rizal, 10, sebelum ini dilaporkan tidak datang ke sekolah pada 23 Julai lalu kerana keracunan makanan.

Perkara itu dimaklumkan keluarga murid terbabit kepada guru kelasnya melalui aplikasi WhatsApp selepas diberi cuti sakit sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, menerusi satu kenyataan hari ini, berkata guru kelas kemudian dimaklumkan bahawa murid terbabit pengsan dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada malam kelmarin.

"Pada jam 7 pagi semalam, guru kelas dimaklumkan oleh waris murid bahawa anak mereka sudah meninggal dunia.

"Kejadian pada jam 12 tengah hari, guru besar bersama beberapa orang guru melawat jenazah di rumah nenek murid terbabit di Kampung Tinusa, Sandakan," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan ketika ini dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan.

Katanya, maklumat kes yang menimpa murid terbabit setakat ini adalah melalui sumber guru kelas dan bapa mangsa.

Raisin berkata, dapatan pihak sekolah mendapati murid terbabit keracunan makanan ketika di rumah, bersama ibunya.

"Murid dan ibu bersama-sama dimasukkan ke wad. Keracunan makanan bukan sebab makanan di kantin sekolah memandangkan ia membabitkan seorang murid sahaja dan murid bersama ibu mengalami keracunan makanan pada hari yang sama di rumah.

"Murid-murid lain tidak mengalami sebarang simptom keracunan makanan pada hari yang sama sehingga ke hari ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan akan membantu keluarga mangsa untuk tuntutan takaful.

"Jabatan akan membuat laporan lengkap kes apabila semua siasatan telah selesai oleh Pejabat Kesihatan Daerah Sandakan," katanya.

Sebelum ini, lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, di sini, disahkan mengalami keracunan makanan dipercayai akibat memakan nasi lemak.

Comment