Bekalan air di UMS pulih sepenuhnya- NC UMS
13:07 Jul 28, 2024  |  By SabahKini2
Bekalan air di UMS pulih sepenuhnya- NC UMS

Situasi bekalan air daripada pihak JANS yang diperoleh UMS dari Januari lalu semakin meningkat berbanding sebelumnya dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu purata lima juta liter sehari (MLD). Projek pembinaan telaga tiub juga siap

Bekalan air di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pulih sepenuhnya dan mampu menampung keperluan warga kampus termasuk pertambahan pelajar baharu yang mula mendaftar pada Oktober ini.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata perkembangan baik itu berdasarkan rekod semasa kapasiti air yang disalurkan ke kampus berkenaan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Katanya, bacaan harian kapasiti air yang direkodkan Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS mendapati bekalan air terawat disalurkan JANS ke kampus induk UMS ketika ini pada tahap stabil dan mencukupi.

"Situasi bekalan air daripada pihak JANS yang diperoleh UMS dari Januari lalu semakin meningkat berbanding sebelumnya dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu purata lima juta liter sehari (MLD).

"Selain itu, projek pembinaan telaga tiub menerusi dana peruntukan diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini juga sudah siap sepenuhnya dan berfungsi dengan baik.

"Bekalan air telaga tiub adalah sumber alternatif bagi mengurangkan impak kepada pelajar jika berlaku gangguan bekalan air JANS akibat kerja penyelenggaraan terancang, berjadual atau berlaku insiden tidak dapat dielakkan," katanya.

UMS berdepan masalah air yang kritikal sejak tahun lalu berikutan kekurangan bekalan daripada loji rawatan air (LRA) milik JANS dengan kemuncaknya pada Januari lalu apabila pelajar mendakwa tidak mandi berhari-hari disebabkan ketiadaan air.

Pelajar turut menyatakan kesukaran dihadapi mereka melalui demonstrasi ketika lawatan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada 7 Januari lalu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan segera untuk mengatasinya

Kasim berkata, berdasarkan perkembangan bekalan air daripada pihak JANS yang stabil dan konsisten ketika ini serta bekalan air alternatif telaga tiub yang sudah siap dan berjalan lancar, UMS ketika ini tidak lagi berdepan isu bekalan air.

Beliau berkata, populasi terkini di kampus induk UMS yang mencecah 20,000 orang dengan keluasan kira-kira 403 hektar memerlukan antara tiga hingga lima MLD bagi memenuhi keperluan bekalan air warga kampusnya.

Katanya, pihaknya menghargai usaha dilaksanakan Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan yang mengambil berat sebarang keperluan universiti, khususnya isu bekalan air.

 

1 Comment