PENAMPANG: Kemajuan fizikal secara keseluruhan bagi Fasa 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah kini siap sekitar 77.41 peratus yang melibatkan 15 pakej kerja.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada 15 pakej berkenaan, empat pakej sudah siap manakala, 11 pakej lagi masih dalam pelaksanaan pembinaan.
Katanya, 11 pakej kerja yang masih dalam pembinaan dijangka siap keseluruhannya pada Mac 2026.
Menurutnya, beberapa masalah dikenal pasti terutamanya melibatkan koordinasi antara syarikat ataupun kontraktor dan agensi kerajaan serta pihak konsultan yang mempunyai kelemahan masing-masing.
"Saya harap perkara ini dapat dibincangkan dengan Kementerian Kerja Raya Sabah supaya masalah ini dapat kita tangani dan mesyuarat koordinasi kerap diadakan.
"Selain itu, kontraktor ada juga masalah termasuk dari segi kewangan kerana bila mereka buat tuntutan, mereka menuduh tuntutan lambat diproses.
"Tetapi sebenarnya tuntutan mereka tidak dapat diproses segera disebabkan oleh dokumen yang tidak lengkap," katanya pada sidang media selepas membuat pemantauan Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1A (Pakej WP06 Putatan-Inanam) dan Kerja Mitigasi Banjir di sini hari ini.
Beliau berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, pihaknya mendapati mesyuarat dan libat urus atau mesyuarat koordinasi perlu kerap dilakukan.
Menurutnya, semua pihak akan dipanggil untuk mengadakan rundingan bersama bagi mengenal pasti perkara yang perlu diselesaikan segera.
"Mana yang mungkin tidak mudah diselesaikan segera, itu kita akan perhalusi apa yang harus dibuat supaya kita dapat segerakan penyiapan projek pakej 1 dan 2," katanya.
Sementara itu jelasnya, tinjauan di kawasan berkenaan juga berikutan masalah banjir yang berlaku baru-baru ini dan ada pihak yang mengadu banjir berlaku mungkin disebabkan oleh pembinaan LPB selain ia dibangkitkan di Parlimen.
Beliau turut diberi taklimat oleh JKR Sabah dan wakil daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai apa sebenarnya yang berlaku memandangkan isu berkenaan di bawah bidang kuasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
"Bagaimanapun, JKR dan pihak yang menguruskan LPB akan sentiasa bekerjasama dengan JPS dalam apa sahaja yang diperlukan untuk kita tangani masalah ini bersama.
"Pihak JPS juga memaklumkan sudah ada perancangan bukan sahaja melibatkan kawasan ini tetapi sepanjang Sungai Moyog sampai ke Putatan yang banyak bergantung kepada peruntukan agak besar sekitar RM500 juta," katanya.
Alexander turut menjelaskan, pakej 1B sekarang dalam proses tender secara terbuka di antara syarikat yang lulus pra kelayakan serta dalam peringkat tenaga perolehan sebelum dihantar kepada Kementerian Kewangan untuk membuat keputusan.
Sehubungan itu, beliau berharap surat setuju terima kepada syarikat yang menang dalam bidaan tender berkenaan akan boleh selesai pada suku ketiga tahun ini iaitu selewatnya pada penghujung Ogos atau September tahun ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya.