Sabah mahu percepat pembinaan dua Kompleks PGA yang baharu
15:07 Jul 30, 2024  |  By SabahKini2
Sabah mahu percepat pembinaan dua Kompleks PGA yang baharu

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dua kompleks baharu berkenaan masing-masing adalah Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak. Pembinaan tersebut akan menambahkan kekuatan batalion sedia ada di Kinarut, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Belura

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu pembinaan dua Kompleks batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) dipercepatkan bagi memperkasakan keselamatan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dua kompleks baharu berkenaan masing-masing adalah Batalion 21 Keningau dan Batalion 22 Kunak.

Katanya, pembinaan dua kompleks berkenaan akan menambahkan kekuatan batalion sedia ada di Kinarut, Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Beluran. 

"Sabah adalah negeri yang besar dan dikelilingi tiga lautan iaitu, Laut China Selatan di Barat, Laut Sulu di Timur Laut, Laut Sulawesi di Timur, manakala di sebelah selatan, Sabah berkongsi sempadan dengan Indonesia.

"Oleh itu, penambahan dua kompleks PGA adalah diperlukan bukan sahaja untuk menghentikan ancaman tetapi juga menggagalkan aktiviti penyeludupan petrol, kayu balak, dadah dan banyak lagi," katanya ketika merasmikan pelancaran Buku Op Daulat Tanduo bertajuk 'General Operations Force, Sabah Brigade: Eliminating Terrorists and The Fifth Column in Kampung Tanduo, Lahad Datu' di sini, hari ini.

Beliau turut memuji kerjasama diantara PGA Sabah dan Jabatan Arkib negeri dalam menerbitkan buku berkenaan yang kini secara rasminya pencerobohan Tanduo pada 2013 menjadi sebahagian daripada rekod sejarah.
 
"Saya mahu mengucapkan tahniah kepada pasukan projek ini dan semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan buku ini.

"Operasi keselamatan seperti pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo adalah contoh keberanian dan komitmen pasukan keselamatan kita," katanya.

Kejadian pada Februari 2013 berpunca daripada tindakan kumpulan pengganas yang mendakwa Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud, dan menurut Hajiji tidak pernah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

"Kesultanan Sulu telah lama tidak wujud selama beberapa dekad dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa. 

"Ia adalah percubaan tidak berasas oleh kumpulan berkenaan untuk menuntut kedaulatan ke atas wilayah Malaysia," katanya.
 
Hajiji juga menegaskan kerajaan Sabah berpendirian untuk tidak mengiktiraf sebarang tuntutan daripada pihak yang mendakwa sebagai waris kesultanan berkenaan.

"Pendirian ini jelas dan selaras dengan suara rakyat Sabah yang telah memilih untuk membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia pada tahun 1963. 

"Oleh itu, sebarang tuntutan dari luar tidak akan dilayan oleh kerajaan negeri dan rakyat," katanya.

Hajiji berkata, pengorbanan pasukan keselamatan, terutamanya semasa insiden Tanduo adalah besar kerana mereka berjuang untuk kedaulatan negara dan keselamatan rakyat dengan nyawa mereka.

"Peranan PGA dalam insiden itu sangat dihargai oleh semua rakyat Malaysia kerana tanpa keberanian dan pengorbanan mereka, kedaulatan negara berada dalam bahaya.

"Oleh itu, saya berharap buku ini akan memberi manfaat kepada orang awam yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang pencerobohan pengganas di Tanduo dan pengorbanan pasukan keselamatan kita.

"Sebagai warganegara Malaysia, kita mesti mengambil iktibar dari kejadian ini dan memperkukuhkan lagi semangat patriotik kita dalam memastikan kedaulatan negara terus dilindungi dan dipelihara," katanya.

Hajiji juga berharap penerbitan ini akan membolehkan generasi muda memahami apa yang berlaku semasa pencerobohan itu, terutamanya pengorbanan pasukan keselamatan negara.

Katanya, sudah 11 tahun sejak pencerobohan Tanduo berlaku, kini dengan pengukuhan keselamatan di Pantai Timur Sabah, keadaan di Lahad Datu telah kembali normal.

"Kerajaan telah mengambil langkah kritikal dengan membentuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang telah banyak membantu mengembalikan keadaan di Lahad Datu ke tahap normal," katanya.

Katanya, ESSCOM bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia, Polis Marin dan PGA telah memperkukuhkan lagi pemantauan di perairan Sabah.

1 Comment