Gunakan dokumen palsu, kontraktor didakwa
17:07 Jul 30, 2024  |  By SabahKini2
Gunakan dokumen palsu, kontraktor didakwa

Tertuduh, Jumadil Iggoh, 61, yang juga pemilik syarikat bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Jason Juga.

TAWAU: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, hari ini atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan bangunan di dua buah sekolah, empat tahun lalu.

Tertuduh, Jumadil Iggoh, 61, yang juga pemilik syarikat bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Jason Juga.

Mengikut tiga pertuduhan, Jumadil didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu penyata akaun bank bertarikh 13 Julai 2020 bagi bulan April, Mei serta Jun, untuk menipu mendapatkan tawaran sebut harga kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters serta rumah guru Sekolah Kebangsaan Andrassy, Tawau.

Manakala tiga pertuduhan lagi, Jumadil didakwa menggunakan penyata akaun bank bertarikh 14 Oktober 2020 bagi bulan Jun, Julai serta Ogos untuk menipu bagi mendapatkan sebutharga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan II, Tawau.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 Kanun yang sama. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Jumadil didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, pada 14 Julai 2020 hingga 14 Oktober 2020.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rekraj Singh menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke Pejabat SPRM terdekat dan tidak mengganggu mana-mana saksi.

Peguam tertuduh, Abdul Ghani Zelika memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh kini tidak mempunyai pekerjaan serta menanggung seorang anak dan isteri.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM10,000, deposit RM3,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 September depan.

1 Comment