Lori 10 tan terbabas sendiri, dua cedera
16:08 Aug 01, 2024  |  By SabahKini2
Lori 10 tan terbabas sendiri, dua cedera

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

TAWAU: Dua lelaki mengalami kecederaan selepas lori yang dinaiki terbabas sendiri di Jalan Kalabakan Maliau Basin, Kalabakan, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.37 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan terbabas sendiri di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, terdapat dua mangsa lelaki berusia 43 dan 58 tahun dilaporkan cedera, namun berjaya dikeluarkan daripada lori berkenaan oleh anggota PBS Kalabakan menggunakan peralatan khas.

“Kedua-dua mangsa terbabit diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke Hospital Nabawan.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian, sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.53 pagi,” katanya.

Comment