Presiden Persatuan Sukan Lawan Pedang Negeri Sabah Datuk Alex Sham Ching Nam berkata langkah itu dibuat kerana mahu memberi pendedahan kepada atlet muda tempatan dalam usaha membangunkan mereka menjadi atlet yang mampu mewakili negara suatu hari nanti.
KOTA KINABALU: Sabah bakal menampilkan 90 peratus atlet muda dan muka baharu dalam saingan lawan pedang pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak bulan depan.
Presiden Persatuan Sukan Lawan Pedang Negeri Sabah Datuk Alex Sham Ching Nam berkata langkah itu dibuat kerana mahu memberi pendedahan kepada atlet muda tempatan dalam usaha membangunkan mereka menjadi atlet yang mampu mewakili negara suatu hari nanti.
"Kita tiada atlet kebangsaan (wakili Sabah pada SUKMA), banyak anak muda berbanding pasukan sebelum ini. Seperti bayi sedang membesar, kita ada pelan besar untuk mereka. Kita tidak mahu terburu-buru, ambil langkah demi langkah pastikan perancangan kita untuk mereka berjaya," katanya.
Pada SUKMA Ke-21 nanti, acara lawan pedang akan berlangsung di Miri, Sarawak dari 19 hingga 23 Ogos ini.
Mengulas mengenai persediaan pasukan, beliau berkata pasukan itu membuat persediaan sejak tahun lepas dengan sesi latihan intensif di Pusat Latihan Lawan Pedang, Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini dan akan memuktamadkan senarai akhir atlet dalam masa terdekat setelah pemilihan teliti selesai dilakukan.
Sham berkata Persatuan Lawan Pedang Negeri Sabah juga mempunyai hubungan baik dengan Sekolah Lawan Pedang Hong Kong yang amat membantu dalam pembangunan atlet terutama untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti latihan pasukan itu.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) atas pelbagai bantuan diberikan termasuk peralatan sukan antaranya kasut lawan pedang yang bakal digunakan pada SUKMA nanti.
Jurulatih Utama Pasukan Lawan Pedang Sabah Kelvin Chung Kin Vui berkata beliau memberikan penekanan khusus kepada kemahiran serangan dalam latihan itu kerana serangan yang tepat dan bertenaga adalah penting untuk mendapatkan mata.
Beliau berkata antara taktik serangan yang memberikan kelebihan ialah serangan lunging yang pantas dan dapat mengejutkan lawan selain membuka ruang untuk serangan seterusnya, serta teknik feint untuk mengelirukan lawan sebelum melakukan serangan sebenar.
"Kemahiran reaksi dan refleks juga amat penting. Dalam sukan lawan pedang, reaksi yang pantas dan refleks yang tajam adalah kritikal. Atlet juga perlu membaca gerak-geri lawan dan bertindak balas dalam sekelip mata," katanya.
Chung berkata selain itu, aspek mental juga ditekankan dalam kalangan atlet lawan pedang Sabah bagi memastikan mereka kekal fokus dan tenang menyerap tekanan ketika berdepan lawan serta suasana ketika pertandingan nanti.
"Kawalan perasaan juga amat penting kerana emosi tidak terkawal boleh menjejaskan prestasi atlet di gelanggang. Jadi atlet dilatih untuk mengawal tekanan dan emosi agar dapat membuat keputusan yang bijak dan tepat semasa pertandingan," katanya.