Coral Bleaching. Apa sebenarnya berlaku? terumbu karang terancam kerana faktor iklim. Mengapa arahan tutup kawasan menyelam dilakukan tanpa penjelasan kabinet dan pemain industri? Christina Liew mahu tolong siapa?
Februari lalu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew mengumumkan jumlah pelancong ke Sabah dijangka mencecah angka tiga juta selepas Sabah merekodkan 2.6 juta pelawat berbanding 2.2 juta yang disasarkan pada tahun lalu.
Jumlah ini tentunya memeriahkan industri pelancong di Sabah khususnya bandar Kota Kinabalu sendiri dan pulau-pulau berhampiran di bawah kawalan Taman-taman Sabah.
26 Julai lalu Datuk Christina Liew memaklumkan langkah baru diambil untuk meningkatkan usaha pemeliharaan terumbu karang yang terancam oleh perubahan iklim dan aktiviti manusia. Menurutnya perubahan iklim telah menyebabkan peningkatan suhu laut.
“Ia telah menyebabkan pemutihan karang, mengurangkan biodiversiti dan memberi kesan kepada daya tarikan eko pelancongan.
“Aktiviti pelancongan yang berlebihan juga memberi tekanan kepada ekosistem semula jadi, termasuk kerosakan pada terumbu karang akibat penyelaman dan snorkeling yang tidak terkawal,” katanya.
Itu adalah ucapan Christina Liew yang disampaikan dalam ucapan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman Sabah, Peter Lintar, pada Sambutan Jubli Emas ke-50 Taman Tunku Abdul Rahman atau Pulau Manukan.
Arahan dan larangan Christina Liew
Namun ada sesuatu yang tidak baik kepada industri pelancongan dan juga pemain industri ialah arahan drastik Christina menutup kawasan tertentu untuk aktiviti menyelam atas alasan untuk pemulihan terumbu karang akibat pemutihan terutama di kawasan melebihi 50% kawasan terumbu karang.
Liew berkata usaha untuk memastikan bahawa tekanan terhadap ekosistem marin dapat dikawal adalah fokus dan dilaksanakan dengan mengehadkan aktiviti serta kemasukan pelancong ke kawasan tersebut setiap hari.
Christina juga berkata Taman Tunku Abdul Rahman atau Pulau Manukan mempunyai 32 lokasi menyelam dan menggesa agensi berkaitan untuk memperluas usaha dan kerja berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan terumbu karang yang terancam oleh perubahan iklim semasa.
“Satu langkah yang boleh diambil oleh semua agensi berkaitan adalah menjalankan program pemulihan untuk terumbu karang yang telah mengalami pemutihan, dan usaha ini mesti dilaksanakan secara konsisten,” tambahnya.
Siapa yang memberi nasihat kepada Datuk Christina Liew? Apakah Pengarah Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim keluaga Shafie Apdal itu atau mungkin para penyelidik di Taman-taman Sabah.
Dr Maklarin Lakim
Ataupun atas sebab-sebab perniagaan bagi mengalihkan pelancong ke destinasi lain di Sabah.
Penutupan kawasan menyelam misalnya di kawasan Pulau Gaya yang mempunyai ramai pelancong setiap hari ke sana sangat merugikan negeri Sabah.
Isu pemutihan karang atau ‘coral bleaching’ bukanlah isu baharu di Sabah tetapi melibatkan seluruh negara malah seluruh dunia. Alasan menutup aktiviti menyelam ialah untuk membantu terumbu karang pulih dan tidak mengalami pemutihan dengan lebih cepat, maka perlu mengehadkan aktiviti, termasuk menutup bahagian pulau di mana kerja-kerja pembaikan dan pemulihan dilakukan.
Hanya kerana laporan penyelidik terumbu karang Elvin Micheal maka keputusan menghadkan kawasan dilakukan tanpa Christina memaklumkan kepada kabinet negeri keputusan itu. Laporan dan perincian tidak jelas hanya diputuskan oleh Datuk Christina Liew selaku Menteri Pelancongan.
Gaya konfrontasi Christina sebagaimana beliau bergaduh dengan Menteri Pelancongan Pusat Datuk Seri Tiong mengenai isu pelancongan dan Sabah MM2H menunjukkan sikapnya. Beliau sepatutnya berbincang dengan semua pihak khususnya pemain industri yang mengeluarkan modal berjuta ringgit membangunkan kawasan pelancongan.
Menurut kumpulan Elvin Micheal mereka melakukan kajian dan pemantauan di 32 kawasan menyelam di pulau berhampiran Kota Kinabalu, bahawa masalah pemutihan karang ini berlaku disebabkan oleh faktor utama yang terbesar, iaitu peningkatan suhu permukaan laut.
Mereka sendiri BERSETUJU faktor terbesar masalah pemutihan ialah faktor suhu permukaan laut dan pemanasan global bukan kerana perbuatan aktiviti pelancongan semata.
Namun membaca semua literatur mengenai pemutihan karang dan membandingkannya dengan apa yang dikatakan oleh Christina Liew yang tidak menjelaskan isu dengan lebih terperinci kepada pemain industri pelancongan dan pelancong dalam aktiviti menyelam mungkin terasa memalukan jika bercakap dengan pelancong antarabangsa mengenai keadaan ini sebagai rakyat Sabah.
Ini kerana pelancong mungkin lebih memahami isu pemanasan global dan pemutihan karang berdasarkan fakta dan penyelidikan yang ada.
Pemutihan karang
Namun, penting untuk diingat bahawa setiap usaha untuk memulihara terumbu karang dan meningkatkan kesedaran mengenai isu ini adalah langkah ke arah yang betul.
Usaha kerajaan negeri dan persekutuan untuk mengangkat nasihat perjalanan dan mempromosikan pelancongan yang bertanggungjawab adalah penting. Kita perlu terus memperbaiki amalan dan dasar untuk melindungi ekosistem terumbu karang kita
Sebagai rakyat Sabah, kita boleh berbangga dengan usaha pemuliharaan yang sedang dilakukan dan terus menyokong inisiatif yang bertujuan untuk menjaga alam sekitar kita. Namun pada masa yang sama, kita juga harus terus belajar dan meningkatkan kesedaran tentang isu-isu perubahan iklim dan pemuliharaan terumbu karang untuk dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan dengan komuniti antarabangsa.
Tetapi bukan dengan menutup kawasan menyelam membabi buta dengan alasan-alasan yang tidak kukuh.
Jika kita merujuk dan membaca penulisan penyelidik lain selain dari Sabah berhubung isu pemutihan karang atau ‘coral bleaching’ seperti Prof. Dato’ Dr. Aileen Tan Universiti Sains Malaysia menjelaskan isu-isu berkait pemutihan karang bukan semata faktor manusia.
Menurutnya Dr. Aileen Tan perubahan iklim dan pemanasan global, yang didorong oleh peningkatan pelepasan gas rumah hijau, telah menyebabkan peningkatan suhu global, perubahan corak cuaca, dan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap. Perubahan ini memberi kesan besar kepada terumbu karang di seluruh dunia, termasuk di Sabah.
Penglibatan Dr. Aileen Tan bersama MERC
Katanya pemutihan terumbu karang berlaku apabila terumbu karang tertekan oleh suhu air yang meningkat, mengeluarkan alga simbiotik yang hidup dalam tisu mereka, menyebabkan mereka menjadi putih dan berpotensi mati jika tekanan berterusan.
Ada terumbu yang pulih dan ada yang tidak dan mati selepas kejadian pemutihan. Kekerapan pemutihan semakin meningkat, dan terumbu karang sukar untuk pulih. Mungkin terumbu yang sihat lebih tahan lasak, tetapi perdebatan ini masih berterusan.
Di Semenanjung Malaysia, pemutihan karang besar-besaran juga telah dilaporkan akibat kenaikan suhu permukaan laut. Lebih daripada 50% terumbu karang di pulau-pulau taman laut seperti Pulau Payar, Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Tioman, dan Pulau Pemanggil telah terjejas
Walaupun pelancongan adalah salah satu tekanan, ia tidak boleh sepenuhnya disalahkan atas pemutihan karang. Walaupun tanpa sebarang aktiviti, suhu yang meningkat akan memutihkan kawasan terumbu karang. Ini adalah peristiwa global dan bukan hanya terhad kepada Sabah atau Semenanjung Malaysia secara keseluruhan.
Biasanya penutupan aktiviti pelancongan dilakukan jika ia berlebihan dan tidak terkawal, dalam kes Pulau Gaya (terutamanya Gayana), ia sangat terhad dan sangat berorientasikan kepada aktiviti selam skuba eko. Semua amalan di resort adalah sangat lestari termasuk aktiviti selam, hampir tidak akan merosakkan terumbu di sana.
Malah, kawasan Semporna mempunyai lebih banyak tekanan daripada pelancongan dan pasti mengalami kerosakan kepada terumbu. Dan amalan pelancongan tempatan tidak selalu lestari dan melayani ramai orang.
Sesekali gelombang haba bukan sahaja menyebabkan pemutihan kepada terumbu karang, ia juga akan memberi kesan lain seperti penyahoksigenan laut dan juga pertumbuhan alga yang boleh mengancam industri akuakultur dan keselamatan makanan.
Mengapa tutup aktiviti menyelam?
Faktor pemutihan karang terbukti bukan hanya kerana isu manusia dalam pelancongan. Di Pulau Gaya yang dikawal oleh Taman- Taman Sabah sepatutnya tidak timbul arahan aktiviti menyelam ini kerana Taman-Taman Sabah mengehadkan kemasukan pelancong dan pengendali pelancongan kepada 500 orang pada satu-satu masa bagi tujuan melindungi habitat serta ekosistem marin dan pulau.
Itu merupakan satu inisiatif Taman Sabah untuk memastikan keadaan dan keselamatan pengunjung di pulau Taman Sabah terjamin dan terkawal.
Jadi mengapa arahan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew ini dikeluarkan jika hanya 500 orang sehari? Christina sepatutnya menjelaskan kepada kabinet tentang isu-isu sebenar bukan mengikut sebelah pihak sahaja.
Sejak akhir-akhir ini Christina Liew gemar untuk membawa pelancong ke Semporna. Ribuan pelancong ke sana. Kawasan pulau-pulau di Semporna juga berlaku pemutihan karang. Mengapa beliau tidak menutup aktiviti menyelam di kawasan itu atas alasan yang sama?
Mr Awang