SEMPORNA: Cubaan menyeludup keluar 480 liter minyak petrol gagal selepas dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di Jeti Kampung Dap Dap, di sini, Sabtu lalu.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintenden Mohamad Ismail berkata, rampasan itu dilakukan kira-kira jam 9.40 pagi.
Mohamad berkata, pihaknya yang menjalankan rondaan di kawasan laut pelabuhan mengesan sebuah bot sarat dengan muatan dalam keadaan mencurigakan berikat di jeti berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan sebanyak 16 jerikin masing-masing berisi 30 liter minyak petrol dan tong gas bersubsidi.
“Barang rampasan termasuk minyak petrol, tong gas, bot berserta dua enjin dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, semua minyak petrol dan tong gas itu disyaki cuba diseludup ke negara jiran melalui jeti kampung berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM46,184 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.