Sabah seru agensi kerajaan, GLC bekerjasama sokong visi ekonomi digital
16:08 Aug 05, 2024  |  By SabahKini2
Sabah seru agensi kerajaan, GLC bekerjasama sokong visi ekonomi digital

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata usaha itu penting bagi mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

KOTA KINABALU: Agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diseru supaya bekerjasama menyokong kerajaan negeri Sabah mencapai objektif dan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui visi ekonomi digital.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata usaha itu penting bagi mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Mengulas lanjut, Arifin yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan Sabah berkata, seiring dengan perkongsian strategik adalah penting bagi ekonomi digital dan teknologi telekomunikasi di Sabah perlu memberi tumpuan membawa masuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini.

“Pengetahuan syarikat mahupun agensi kerajaan yang terlibat amat diperlukan bagi menyokong inisiatif lain seperti bandar pintar, hubungan pintar luar bandar, kampus pintar, pertanian pintar, pendidikan pintar dan bangunan pintar.

“Kita mengharapkan agar inisiatif ini mampu menarik minat pihak pelabur dalam industri Digital dan Teknikal agar turut serta menjadi sebahagian daripada usaha menyokong transformasi ekonomi dan Pendidikan digital di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Sabah Education Tech (SET) 2024 Sempena Karnival Pendidikan Aspirasi, Komunikasi Dan Digital Belia Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah kelmarin.

Program anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu telah berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Ogos 2024.

Kira-kira sebanyak 88 gerai pameran dari pelbagai agensi dan jabatan serta sekolah-sekolah di negeri ini menyertai program berkenaan.

Arifin berkata, beliau gembira SET 2024 yang julung kali diadakan di sini telah membawa program-program berkaitan kepentingan mempelajari teknologi digital masa kini.

“Saya turut gembira kerana SET 2024 sudi membawa program-program yang mengajar kita tentang kepentingannya untuk mempelajari dan mengambil tahu akan teknologi digital pada masa kini.

“Tahniah kepada pihak penganjur Sabah Education Technology atau SET 2024 yang diketuai Munirah Ruslan bersama pasukannya,” katanya.

Tambah beliau lagi, baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan bahawa kerajaan negeri akan sentiasa bekerjasama dengan KPM menerusi JPN dalam merealisasikan agenda kerajaan ke arah memperkasa, meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan di negeri ini.

“Kerjasama ini amat penting kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat keseluruhannya.

“Usaha itu termasuklah menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana pendidikan di negeri ini, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing.

“Semua pihak yang berkaitan termasuk warga Jabatan Pendidikan, pendidik dan ibu bapa perlu berganding bahu serta bekerjasama demi kejayaan dan masa depan anak-anak kita,” katanya.

Menurutnya, dalam tahun ini 2024, kerajaan telah menyediakan memperuntukkan sebanyak RM474.55 juta untuk pendidikan.

“Kerajaan negeri juga telah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu portal.

“Ini adalah inisiatif baharu Ketua Menteri Sabah di bawah Hala Tuju SMJ dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah terutama yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi melalui gabungan kerjasama badan-badan penaja utama dan pemberi bantuan pendidikan,” katanya.

Turut hadir Pengarah Program SET 2024, Munirah Ruslan dan Penasihat SET 2024, Datuk Surinam Sadikun.

Comment