Bot berlanggar di Semporna, seorang parah dan dua warga asing hilang
17:08 Aug 08, 2024  |  By SabahKini2
Bot berlanggar di Semporna, seorang parah dan dua warga asing hilang

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah diaktifkan untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat).

SEMPORNA: Dua lelaki warga asing hilang, manakala seorang lagi parah selepas bot yang mereka naiki dilanggar sebuah bot lain dalam kejadian di perairan Pulau Sebangkat, di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, bot yang dinaiki empat lelaki masing-masing berusia 30 tahun itu dilanggar yang menyebabkan dua daripada mereka hilang dan seorang lagi parah.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah diaktifkan untuk Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat).

Katanya, aset Bot Bangi 11 dan Bot Adal 18 dari Zon Maritim Semporna digerakkan ke Llokasi kejadian bagi menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

“Berdasarkan maklumat awal, bot yang dinaiki empat mangsa terbabit dikatakan keluar ke laut pada jam 5 petang Isnin lalu.

“Bagaimanapun, bot mereka dilanggar oleh sebuah bot lain di perairan berkenaan, namun individu yang melanggar bot mangsa telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Amir berkata, dua penumpang terselamat namun salah seorang mengalami kecederaan di lengan, lutut serta bahagian belakang dan telah mendapatkan rawatan di wad kecemasan Hospital Semporna.

“Dua lagi penumpang masih hilang dan operasi yang memasuki hari ketiga kini diperluaskan kepada lima sektor dengan penambahan radius kawasan kepada 27 batu nautika persegi,” katanya.

Beliau berkata, operasi turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Taman - Taman Sabah.

Comment