Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kesemua kes berkenaan membabitkan kerugian mencecah RM37.76 juta yang mana 203 kes yang direkodkan adalah penipuan atas talian yang tertinggi nilai kerugian mencecah RM 8.15 juta.
KOTA KINABALU: Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya membuka 302 kertas siasatan bagi tempoh Mei hingga Julai tahun ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kesemua kes berkenaan membabitkan kerugian mencecah RM37.76 juta yang mana 203 kes yang direkodkan adalah penipuan atas talian adalah yang tertinggi dengan nilai kerugian mencecah RM 8.15 juta.
Katanya, dalam tempoh sama, enam kes diklasifikasikan sebagai kes menarik iaitu lima kes berprofil tinggi dan satu kes penipuan atas talian membabitkan kerugian RM1.5 juta.
"Lima kes berprofil tinggi itu membabitkan penyamaran sebagai pemilik akaun bagi pengeluaran wang simpanan tetap pelanggan di salah sebuah bank komersial bernilai RM24.7 juta.
"Sepanjang tempoh itu juga polis turut menahan 90 suspek melibatkan pelbagai kesalahan jenayah komersil,” katanya pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Iyda Ismail.
Kasim berkata, daripada jumpah tangkapan itu, seramai 24 suspek adalah kes berprofil tinggi yang melibatkan individu berpangkat datuk, pegawai kerajaan dan pegawai bank.
Katanya, 10 daripada 24 individu itu sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Jenayah Terancang) manakala selebihnya masing menunggu proses pendakwaan.
"Tangkapan lain yang didakwa di mahkamah adalah keldai akaun kerana memberikan atau menyewakan akaun serta kad ATM kepada pihak ketiga.
"Semua suspek terbabit didakwa selepas gagal memberikan keterangan munasabah mengenai pembabitan akaun dalam kes penipuan,” katanya.
Kasim juga menasihati masyarakat supaya sentiasa cakna dengan pelbagai taktik jenayah komersial bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Katanya, sekiranya ada sebarang kemusykilan, orang ramai boleh menghubungi pihak polis bagi mendapatkan nasihat atau maklumat berkaitan.
"Selain itu, masyarakat turut digesa supaya mengambil bahagian dalam pelbagai usaha pencegahan jenayah komersial yang dijalankan," katanya.
Dalam pada itu Kasim berkata, IPD Kota Kinabalu akan meningkatkan tumpuan dalam beberapa aspek bagi mengelakkan berlakunya elemen jenayah di sekitar ibu negeri.
Katanya, usaha itu termasuklah meningkatkan perkhidmatan kepolisan selain menjalin kerjasama dengan komuniti setempat di daerah ini.
“Dalam tempoh tiga bulan bermula Mei sehingga Julai lalu, kita berjaya menyelesaikan 80 kes daripada 203 keseluruhan kes yang dibuka dan menuduh 114 kes di mahkamah.
“Ini adalah peningkatan memberangsangkan kerana meletakkan IPD Kota Kinabalu di tempat teratas antara daerah bagi Gred A dan kita akan meningkatkan pengoperasian bagi team task force dan team khas yang ditubuhkan untuk menangani jenayah.
“Pada masa sama kita merancang untuk bekerjasama dengan pihak komuniti termasuk pasukan keselamatan di kawasan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) selain kawasan perumahan bagi bersama-sama memastikan kesejahteraan dan keselamatan ibu negeri lebih terjamin,” katanya.