SAR dua warga Filipina hilang di perairan Pulau Sebangkat tamat
14:08 Aug 09, 2024  |  By SabahKini2
SAR dua warga Filipina hilang di perairan Pulau Sebangkat tamat

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, operasi ditamatkan pada 06.30 petang memandangkan operasi yang bermula Selasa lalu tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

SEMPORNA: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dua penumpang bot warga Filipina yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Sebangkat, di sini 6 Ogos lalu ditamatkan pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, operasi ditamatkan pada 06.30 petang memandangkan operasi yang bermula Selasa lalu tidak menemukan sebarang petunjuk baharu.

Katanya, Zon Maritim Semporna akan melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat petunjuk baharu yang mungkin berkaitan dengan penemuan mangsa.

“Sepanjang tiga hari ini kita melakukan pencarian mencecah keluasan 64 Batu Nautika persegi dengan penglibatan tujuh buah bot dari Maritim Malaysia dan pelbagai agensi lain.

“Komuniti di kampung-kampung sekitar turut dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dan diminta untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang petunjuk,” katanya dalam satu kenyataann di sini.

Sementara itu, Amir turut mengingatkan kepada komuniti maritim untuk sentiasa menggunakan jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut.

Terdahulu, dalam kejadian kira - kira pukul 6.00 pagi Selasa itu, dua penumpang warga Filipina masing-masing berumur 30 tahun dikhuatiri lemas apabila bot yang mereka naiki dilanggar oleh sebuah bot lain di Perairan Pulau Sebangkat, Semporna.

Selain Maritim Malaysia, SAR terbabit turut dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Taman-Taman Sabah.

Comment